Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, apabila peguam negara membuat kenyataan berhubung satu-satu keputusan, ia sepatutnya menyelesaikan isu berkaitan kes berkaitan.
Pada Khamis, Thomas berkata, beliau tidak akan membuat pendakwaan berhubung video berkenaan kerana tiada kemungkinan untuk mengenal pasti identiti individu terbabit melalui perisian pengecaman wajah kerana resolusinya yang rendah.
Haniff memberitahu FMT, ketika klip video tersebut mula-mula tular, bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz mengaku terbabit dengannya dan menuduh timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai individu pasangannya.
“Jika peguam negara tidak akan mendakwa mana-mana pihak kerana identiti mereka tidak dapat dikenal pasti, maka apakah keputusannya berhubung pengakuan Haziq,” soalnya.
Beliau berkata, Haziq boleh didakwa kerana membuat fitnah jenayah, dan sekiranya beliau terlibat dalam konspirasi jenayah untuk memfitnah, maka ia juga merupakan satu perbuatan jenayah.
“Hubungan seks luar tabii adalah satu kesalahan, dan sekiranya ia konsensual sekali pun, paling tidak Haziq harus didakwa,” katanya.
Haniff berkata, perkara sama terpakai ke atas pihak yang menyebarkan video tersebut, dengan menambah bahawa mereka boleh didakwa kerana konspirasi jenayah atau menyebarkan pornografi.
Semalam bekas perdana menteri Najib Razak berkata, 3 keadaan sepatutnya berlaku selepas Thomas membuat keputusan untuk tidak membuat pendakwaan berhubung video tersebut, termasuk tindakan saman oleh Azmin terhadap Haziq.
Najib berkata, Haziq sepatutnya didakwa kerana membuat laporan polis palsu, selain pihak yang mengedar video berkenaan kepada orang ramai.
Memberi respons terhadap kenyataan Najib, peguam jenayah N Sivananthan berkata, Azmin tidak semestinya memfailkan saman fitnah terhadap Haziq kerana terserah kepadanya sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang sivil atau sebaliknya.
Beliau juga berkata, keputusan Thomas kerana kekurangan bukti tidak bermakna Haziq membuat laporan polis palsu.
“Sesiapa juga boleh membuat laporan polis, tetapi terserah kepada pihak pendakwaan sama ada mahu mendakwa seseorang suspek,” katanya.
Berhubung penyebaran klip video seks, Sivananthan percaya sekiranya Thomas mempunyai bukti mencukupi untuk mensabitkan orang yang didakwa, maka beliau akan membuat pendakwaan ke atas individu terbabit.
“Jika beliau tidak berbuat demikian, mungkin kerana tidak cukup bukti. Harus diingat bahawa anggapan awam mengenai bukti dan bukti dari pandangan undang-undang adalah 2 perkara berbeza.
“Tahap bukti bagi mensabitkan seseorang sangat tinggi. Peguam negara perlu memutuskan sama ada beliau mempunyai cukup bukti mengikut undang-undang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan