Usaha bagi hargai jasa, sebagai nadi penting dalam pendidikan
NIBONG TEBAL – Kerajaan akan terus memfokuskan kebajikan guru Kelas al-Quran dan
Fardhu Ain (KAFA), termasuk menilai semula pemberian elaun kepada
guru-guru berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata, pemberian elaun sentiasa
menjadi fokus perbincangan di peringkat kementeriannya dalam usaha
menghargai jasa guru KAFA, sekali gus memartabatkan lagi profesion guru
itu yang turut menjadi nadi penting dalam pendidikan.
“Dalam Belanjawan 2020 kita telah
menaikkan elaun guru KAFA sebanyak RM100 lagi menjadikan elaun mereka
kini RM1,000 daripada RM900 sebelum ini. Saya katakan ia (kenaikan
elaun) tidak akan terhenti di sini. Untuk Belanjawan 2021, kita akan
minta lebih lagi supaya guru KAFA tidak rasa terpinggir dari sudut
elaun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
selepas merasmikan program e-RPH (Rancangan Pengajaran Harian) dan KAFA
Pendidikan Khas Zon Utara di Institut Latihan Perindustrian Nibong
Tebal, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata
penekanan yang akan diberikan kerajaan terhadap guru KAFA itu termasuk
pemberian elaun kepada guru KAFA yang sedang cuti bersalin kerana buat
masa ini mereka tidak menikmati sebarang elaun dalam tempoh itu.
“Ia termasuk dalam perbincangan kita, kita cuba buat setakat termampu,” katanya.
Terdahulu, pada program itu Mujahid turut
memuji program yang telah dicetuskan oleh KAFA Pulau Pinang dan
berharap ia menjadi contoh serta modul kepada KAFA di negeri-negeri
lain.
“Ia satu program yang cukup baik dan
boleh dijadikan contoh kepada KAFA negeri lain yang kini mempunyai
hampir 30,000 guru dan sejuta murid di seluruh negara,” katanya.-
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan