Susulan respons wakil rakyat dan menteri terhadap bantahan peniaga pasar larut malam (uptown) Danau Kota kelmarin, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah tampil membuat kenyataan balas.
Ridzuan menyanggah kenyataan dikeluarkan anggota parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berhubung isu berkenaan.
Kedua-dua pemimpin itu berkata mereka yang membantah tapak baru uptown berkenaan datang dari “sindiket dan kroni” yang tidak berpuas hati kerana mengalami kerugian apabila tidak lagi dapat mengutip sewa bulanan gerai.
Sebaliknya
Ridzuan berkata, mereka yang melakukan protes kelmarin merupakan
peniaga sebenar yang tidak mendapat gerai di tapak sementara Bazaria
Wangsa Maju.
Malah, tambahnya, kebanyakan peniaga itu mempunyai lesen sah, tetapi tidak mendapat tempat di tapak baru sehingga mereka kehilangan sumber pendapatan.
“Ikhlas mohon rayuan supaya berilah peluang kepada peniaga, sementara kita hendak selesaikan masalah, sementara kita sedang mengutip nama mereka untuk diserahkan kepada pihak menteri, berilah peluang buat sementara ini mereka berniaga di tempat yang lama itu.
Peniaga-peniaga jadi anak yatim piatu hari ini,” katanya kepada Malaysiakini.
Kelmarin, Ridzuan mengetuai protes oleh kira-kira 70 peniaga yang tidak berpuas hati apabila mereka tidak mendapat tempat di Bazaria Wangsa Maju, sedangkan mendakwa ada peniaga luar diberikan tapak.
Dakwaan itu dinafikan Tan yang menjelaskan, semua 500 peniaga yang diberikan gerai adalah berdasarkan bancian oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan merupakan peniaga asal.
Mengulas lanjut, kata Ridzuan, masalah tidak cukup
tempat di tapak sementara itu timbul apabila peniaga yang sebelum ini
tidak mempunyai lesen diberikan gerai.
'Ada peniaga luar dapat hingga 6 tapak'
Beliau berkata setakat semalam, Ikhlas telah mengumpulkan sebanyak 204 nama peniaga yang kebanyakannya mempunyai lesen tetapi tidak mendapat tapak gerai di Bazaria,
Beliau berkata nama berkenaan akan diserahkan kepada pegawai Khalid dalam pertemuan yang diatur minggu depan.
Ini katanya termasuk bancian peniaga yang didakwanya, dilakukan oleh “syarikat swasta yang dilantik” oleh DBKL.
Katanya, beliau mahu siasatan dilakukan ke atas jumlah bayaran oleh DBKL kepada syarikat tersebut dan siasatan ke atas kontraktor yang dilantik untuk pembinaan Bazaria Wangsa Maju.
Beliau juga mendakwa kontraktor berkenaan ada 'sangkut paut' dengan Tan serta mendapat peruntukan dari DBKL dan Kementerian Kewangan.
“Ada unsur rasuah. Isu ini kita akan bawa kepada SPRM, dan juga kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
Tan sebelum ini menafikan sebarang salah guna kuasa dalam pengurusan pemindahan Uptown Danau Kota dan memberitahu akan mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Ridzuan.
Untuk rekod, Tan kelmarin memberitahu, peniaga didapati tidak membuka gerai di tapak Uptown lama walaupun beberapa kali pembanci datang membuat bancian dan ini merupakan antara sebab tapak gerai baru tidak diberikan kepada mereka.
Bazaria Wangsa Maju merupakan tapak sementara yang dibina berdekatan tapak lama Uptown Danau Kota, sementara menunggu tapak kekal berdekatan bangunan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju siap dibina, yang mengambil masa dua tahun atau lebih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan