Sabtu, 11 Januari 2020

Cina agresif tolak jawi, Melayu saman cabar sekolah vernakular

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Cina mulakan dulu, Melayu hanya bertindak balas: Prof Kok Seong

BANGI – Tindakan saman ke atas penubuhan sekolah vernakular yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah disebabkan orang Cina secara khususnya telah menjolok ‘sarang tebuan’ berhubung isu tulisan jawi.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, apabila orang Cina melalui Dong Zong secara agresif menolak pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular, menyebabkan orang Melayu marah.

Oleh itu dakwa beliau, saman yang difailkan oleh individu perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) adalah manifestasi kemarahan orang Melayu.

“Sebelum ini ada hasrat untuk menyaman tapi tidak pernah terjadi. Sebelum adanya orang Melayu menyaman di mahkamah, orang Cina sudah buat dahulu iaitu parti Gerakan yang mana telah menyaman kerajaan. Orang Cina memulakan dahulu, orang Melayu hanya bergerak balas sahaja,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan Gerakan memfailkan saman terhadap Kerajaan Pusat bagi mencabar keputusan kerajaan yang mahu melaksanakan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Gerakan yang memfailkan saman itu melalui Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai menamakan Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Timbalannya, Teo Nie Ching dan kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagaimanapun menolak permohonan parti itu supaya pembelajaran tulisan jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh dalam keputusannya berkata, jawi sebahagian daripada bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Dalam perkembangan sama, Kok Seong berkata, perpaduan perlu wujud dalam kita sokong-menyokong antara satu sama lain.

“Sekarang ini nampak kita tidak ada kerukunan ini iaitu sokong menyokong antara satu sama lain. Dalam kes tulisan jawi ia pilihan, jadi apabila diberi pilihan maka sama ada ia diterima atau ditolak. Dalam keadaan tulisan jawi itu berstatus pilihan, ia diserang sebegitu agresif lagi,” katanya.

Semalam, ISMA yang lantang mempertahan Perlembagaan mengesahkan memfailkan writ saman terhadap Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sudah tiba masanya mahkamah meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah vernakular yang sejak dahulu lagi mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

“Kita tegaskan penubuhan sekolah vernakular adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berperlembagaan yang kita amalkan,” katanya.

Pada 16 November lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), telah memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Manakala, pada 17 Disember lalu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz juga memfailkan semula permohonan untuk mencabar sistem sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didakwa bertentangan dengan Perlembagaan.


Tiada ulasan: