Sabtu, 11 Januari 2020

Suara menteri pendidikan ‘hilang’ isu jawi

siti hafidah

 

Krisis kepimpinan disebabkan polisi, dasar yang dilakukan

BANGI – Kegagalan Dr Maszlee Malik menangani pelaksanaan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular memberi kesan kepada pembangunan sistem pendidikan negara.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Noor berkata, tulisan jawi antara tiga isu yang paling jelas menunjukkan kegagalan Dr Maszlee sebagai menteri pendidikan.

“Pada awalnya enam muka surat, diturunkan kepada tiga muka surat akhirnya perlu diputuskan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk dilakukan. Di mana suara menteri, hilang,” katanya ketika temubual Kerusi Panas, di sini, Rabu lalu.

Pada awal sesi persekolahan, negara dikejutkan apabila Maszlee mengumumkan perletakan jawatan berkuat kuasa 3 Januari 2020.

Menurut Maszlee, beliau berbuat demikian selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma. Isu krisis dan kontroversi lebih menjadi perhatian media berbanding kejayaan yang telah dilakar Kementerian Pendidikan sebelum ini,” kata Maszlee.

Mengulas lanjut, Alif Anas tidak bersetuju pandangan bahawa kegagalan Maszlee menyelesaikan isu tulisan jawi disebabkan kerana tekanan pucuk kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Pada pandangan saya, krisis kepimpinan dan tidak kepercayaan ke atas beliau mungkin disebabkan polisi dan dasar-dasar yang dilakukan yang mungkin menimbulkan tanda soal.

“Saya boleh tekankan program sarapan percuma yang mana pada tahun 2019 telah dilaung-laungkan dan akan dilaksanakan sebagainya.

“Namun dalam bajet kita tidak disebut malahan perkara-perkara ini dikatakan akan dilakukan. Mungkin ini tidak disenangi dan sebagainya,” katanya.


Tiada ulasan: