Selasa, 14 Januari 2020

Bekas pemimpin UMNO dalam BERSATU tidak tawar diri bertanding pemilihan parti

Oleh Rohaniza Idris
 
AHLI Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman


KUALA LUMPUR: Beberapa bekas pemimpin UMNO yang kini menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), membayangkan tidak menawarkan diri pada pemilihan parti itu tetapi bersikap terbuka jika nama mereka dicalonkan untuk bersaing di peringkat bahagian atau pusat.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata beliau tidak menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan parti kerana mahu menumpukan usaha mengukuhkan parti.

“Pada masa ini saya tidak mahu komen mengenai pemilihan kerana ia belum lagi bermula,” katanya dihubungi BH semalam.

Ditanya pendiriannya jika ada yang mencalonkan beliau untuk bertanding di peringkat pusat, beliau menyifatkan adalah terlalu awal untuk membuat sebarang komen berhubung perkara itu.

Semalam, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan hanya bekas pemimpin UMNO yang bersih daripada rasuah dibenarkan bertanding dalam pemilihan parti itu.

“Sesiapa juga ahli bekas UMNO boleh mencuba nasib dalam pemilihan julung kali parti BERSATU bulan depan, tetapi hanya jika mereka bebas daripada “perbuatan jenayah,” katanya.

Mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian BERSATU akan diadakan mulai 15 Februari hingga 18 April ini, manakala Mesyuarat Agung Tahunan parti dijadual diadakan mulai 26 hingga 28 Jun.

Sehingga kini BERSATU mempunyai 377,057 ahli membabitkan 2,946 cawangan di seluruh negara.
Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz, turut menyuarakan tidak akan menawarkan diri dalam pemilihan parti, sama ada di bahagian mahupun di peringkat pusat.

“Saya mahu mengukuhkan kedudukan BERSATU di bahagian dan sama sekali tidak akan menawarkan diri. Jika ada pencalonan, saya tidak berminat untuk teruskan. Saya mahu cari jalan supaya BERSATU terus diterima di kawasan saya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas ahli UMNO yang menyertai BERSATU, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pemilihan parti itu di Sabah, berbeza dengan cawangan dan bahagian di negeri lain kerana parti itu baru saja melebarkan sayap ke negeri itu.

“Saya kini adalah Ketua Penaja BERSATU di bahagian Beluran, makanya saya sudah pasti akan bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian. Kebanyakan bekas ahli UMNO yang menyertai BERSATU kini adalah ketua penaja di bahagian masing-masing.

“Untuk pemilihan di peringkat pusat, sukar saya hendak mengulas kerana mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian masih belum diadakan selepas parti menangguhkannya bulan depan berikutan masalah pendaftaran ahli di cawangan belum dapat diselesaikan,” katanya.

Difahamkan beberapa lagi bekas pemimpin UMNO tidak mahu menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan parti dengan alasan tidak bersedia selain hanya mahu membantu penubuhan parti di peringkat bahagian dan cawangan.

Selain Mustapa, Ikmal Hisham dan Ronald, pemimpin UMNO yang menyertai BERSATU termasuklah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermiyatie Samsudin.

Empat pemimpin UMNO Sabah turut menyertai BERSATU iaitu Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris.

Tiada ulasan: