Isnin, 20 Januari 2020

Apa tawaran pembangkang jika PH kerajaan sepenggal?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Negara takkan berganjak era baru jika orang lama ambil alih: Aminuddin



BANGI – Mungkin sudah tiba masa untuk pembangkang mengetengahkan barisan pimpinan negara dan tawaran yang mahu diberikan kepada rakyat, saran Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya hari ini.

Beliau mengesyorkan sedemikian susulan signal daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pakatan Harapan (PH) mungkin akan menjadi kerajaan sepenggal berikutan kekalahan lima pilihan raya kecil secara berturut-turut.

Terdahulu Dr Mahathir dilaporkan berkata, PH mungkin akan menjadi kerajaan sepenggal jika ia tidak melakukan beberapa perubahan.

“Kita kalah lima pilihan raya kecil dan mereka masih tidak faham. Saya beritahu mereka dalam demokrasi anda perlu sokongan kuat daripada rakyat.

“Sebaliknya, mereka bergaduh sesama sendiri dan memecahbelahkan rakyat… Mereka tidak akan menang kecuali jika ubah cara,” kata beliau.

Haji Aminuddin menyifatkan Dr Mahathir mempunyai alasan yang kukuh apabila mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Adakah ini satu peringatan atau ugutan, sindiran, kita tidak pasti. Saya tidak terkejut kalau Tun M bubar Parlimen sebelum habis lima tahun,” katanya kepada Ismaweb.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, sama ada PH menjadi kerajaan satu penggal ataupun tidak bukan satu kebimbangan kepada beliau.

“Sebaliknya yang lebih membimbangkan saya ialah siapa yang mahu naik nanti? Kalau orang lama juga yang naik, maknanya tidak akan ada apa-apa perubahan.

“Isu-isu yang menghantui rakyat selama ini seperti rasuah, nepotisme dan lain-lain akan berulang kembali. Jadi sampai bila-bila negara tidak akan beranjak ke era baru.

“Setakat ini pembangkang tidak mengemukakan lagi barisan ‘Shadow Cabinet’ mereka. Walaupun rata-rata rakyat sudah mual dengan PH tetapi rakyat juga nak tahu apa tawaran pembangkang,” katanya.


Tiada ulasan: