Isnin, 6 Januari 2020

Anwar tak setuju bekas pemimpin UMNO sertai kabinet

Mohammad Arif Nizam
MG050120_PINGAT-EMAS-PELAJAR-UPSR09
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap semasa sidang media pada Program Pingat Emas Bagi Murid-Murid Cemerlang UPSR di MAEPS, Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
 

SERDANG – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat tidak bersetuju jika bekas pemimpin UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dipelawa menyertai kabinet.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, kerajaan sedia adalah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai semangat tinggi pakatan tinggi dan berpegang kuat kepada manifesto.

“Ini kerajaan PH, semangat dan manifesto PH. Itu yang lebih utama,” katanya yang mengambil masa agak lama untuk memberi jawapan ketika ditanya wartawan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Emas kepada Murid-Murid Cemerlang UPSR SJKT Selangor di sini hari ini.

Anwar diminta mengulas nama bekas pemimpin UMNO yang telah menyertai Bersatu, Datuk Seri Mustapa Mohamed disebut antara calon yang sesuai sebagai Menteri Pendidikan baharu menggantikan Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan berkuat kuasa Jumaat lalu.

Ini kerana penganalisis politik berpendapat, Mustapa atau lebih mesra dengan panggilan Tok Pa pernah memegang jawatan menteri pengajian tinggi dan menteri perdagangan antarabangsa dan industri yang memberi nilai tambah kepada Kabinet. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: