Suspek tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa di Malaysia
SERDANG
– Jabatan Imigresen membuka tirai hari pertama tahun baharu dengan
menahan seramai 87 warga China dalam serbuan di beberapa unit
kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong, di sini, hari ini, kerana
dipercayai menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 79
lelaki dan lapan wanita yang antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan
yang sah, serta menetap lebih masa di negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul
Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka disyaki menjalankan kegiatan itu
berdasarkan penemuan skrin-skrin komputer yang memaparkan skim pelaburan
seperti ‘Forex’ dan ‘Cryptocurrency’.
Beliau berkata, premis-premis yang
diserbu turut dijadikan pusat untuk melatih pekerja mengenai cara
mendekati pelanggan melalui aplikasi dalam talian.
“Hasil siasatan mendapati mereka
dipercayai menjalankan kegiatan itu pada kira-kira sebulan lepas dan
terdapat perbualan dalam talian yang menunjukkan pelanggan ditipu dan
mengalami kerugian daripada pelaburan yang ditawarkan mereka,” katanya
kepada pemberita, selepas operasi di lokasi serbuan, di sini.
Khairul Dzaimee berkata, modus operandi
yang dijalankan sindiket berkenaan telah bertukar iaitu daripada menyewa
bangunan komersial yang besar dan menggunakan komputer kepada menyewa
rumah-rumah kediaman seperti kondominium.
“Unit-unit kediaman ini juga dijadikan
pusat operasi yang dilengkapi dengan kemudahan komputer riba dan
kemudahan talian internet,” katanya.
“Kesemua suspek yang berusia 21 hingga 36
tahun itu direman selama 14 hari bermula hari ini dan sindiket
berkenaan juga turut membeli kira-kira 800 kad sim yang dianggarkan
bernilai RM24,000 di premis-premis sekitar bangunan ini,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke
Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut, manakala kes ini
disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen 1959,” katanya.
Operasi berkenaan disertai kira-kira 160
pegawai dan anggota imigresen termasuk agensi-agensi lain seperti Polis
Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam operasi yang bermula
pada 11.30 pagi tadi. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan