Khamis, 14 November 2019

SPR setuju nasihat peguam negara isu permit kempen rumah ke rumah

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

PETALING JAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun bersetuju dengan Peguam Negara Tommy Thomas berhubung permit kempen rumah ke rumah, yang berkata akta tidak jelas merujuk kepada kempen seperti itu.

“Jika peguam negara berkata demikian, saya akan merujuk kepada nasihatnya kerana dia penasihat undang-undang kepada kerajaan.

“Semua jentera kerajaan harus merujuk kepada peguam negara. Polis juga sebahagian daripada kerajaan, jadi mereka juga harus mendengar nasihatnya,” katanya kepada FMT.

Thomas hari ini berkata Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihanraya tidak jelas merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu.

Penjelasan ini menyusuli kontroversi kenyataan SPR kelmarin, memaklumkan polis meminta semua pihak bertanding pada pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai supaya mendapatkan permit bagi kempen rumah ke rumah kerana ia juga suatu bentuk berkempen.

Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din pada sidang media semalam berkata keperluan permit itu mengikut peruntukan Seksyen 24(B) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Menurut seksyen itu, acara yang memerlukan permit adalah perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka di mana ucapan atau syarahan hendak diberikan.

Permintaan mendapatkan permit untuk kempen rumah ke rumah mengundang bantahan pembangkang, mengatakan kenapa ia timbul semasa kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai sedang berjalan.

Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 juga menggesa SPR menolak peraturan itu, mengatakan Seksyen 24B hanya menetapkan calon perlu meminta permit untuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan yang dalamnya ada ucapan atau syarahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini menolak dakwaan permit rumah ke rumah itu keputusan saat akhir, mengatakan ia dibincangkan pada hari penamaan (2 Nov) antara polis, SPR dan ejen calon.

Tiada ulasan: