Sabtu, 30 November 2019

Azmin semakin tak beradab – Farhash

Kumara Sabapatty
 
 azmin-farhash




KUALA LUMPUR – Tidak ada keperluan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tunduk kepada desakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk meminta maaf atas pemecatan bekas Ketua Cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid.

Setiausaha Politik kepada Presiden PKR itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, pemimpin tertinggi parti tidak perlu minta maaf kerana keputusan memecat Zakaria yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat itu adalah tindakan lembaga disiplin parti.

Katanya, keputusan memecat Zakaria dan seorang ahli biasa PKR itu telah dibuat pada 24 November lalu oleh Lembaga Disiplin PKR berdasarkan sokongan lebih dua pertiga ahli MPP.

“Semenjak kebelakangan ini Timbalan Presiden PKR kelihatan sudah hilang adab dan cuba mengeruhkan keadaan kerana terdesak.

“Kalau sebelum ini merajuk tak dapat merasmikan Kongres AMK, kali ini hendak mendesak presiden untuk meminta maaf hanya kerana tidak bersetuju dengan keputusan parti.

“Jika Azmin sering beri alasan tidak hadir mesyuarat kerana tugas menteri, apa pula alasan lagi 19 orang ahli MPP bersamanya? Tapi bila nak berjumpa pihak pembangkang senang sahaja dipelawa ke kediaman rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Farhash menasihati Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu supaya membuat keputusan yang betul tanpa mengheret ahli parti ke arah keadaan sesat.

“Nasihat saya kalau dah hilang arah sila buat keputusan yang betul tapi jangan terus menyesatkan ahli parti dengan bersikap munafik.

“Saya juga minta Azmin untuk insaf sebelum kongres nasional dan lebih berhemah sebagai penjawat awam,” tegasnya.

Pagi hari ini, seramai 19 daripada 64 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR termasuk timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali menolak pemecatan Zakaria.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka berpendirian bahawa pemecatan itu “tidak sah” kerana tidak melalui proses sewajarnya.

Mereka juga mendakwa pemecatan yang tidak disertakan dengan sebab pemecatan adalah tidak relevan.

Kenyataan bersama itu selain Azmin, turut diwakili dua Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Chua Tian Chang@Tian Chua, Ketua Wanita PKR Nasional, Haniza Mohamed Talha dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Nasional, Hilman Idham.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: