Selasa, 26 November 2019

PAS berbeza dari PAN dalam prinsip perjuangan

HARAKAHDAILY



BAGAN SERAI: PAN sepatutnya memberikan tumpuan untuk menjaga parti itu yang kini berdepan kemelut di mana Mesyuarat Agung Tahunan di banyak peringkat terpaksa diadakan semula.

Ahli Jawatankuasa PAS Negeri Perak, Tuan Guru Sidek Noor berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAN, Khalid Samad yang mendakwa PAS tiada hala tuju.

Jelas beliau, PAS menyedari usaha perjuangan Islam dibawanya umpama merintis perjalanan berliku seumpama melalui jalan biasa berbanding lebuh raya di mana walaupun sukar, akan mahir dan matang juga.

“Matlamat PAS tercatat jelas dalam perlembagaan parti, walaupun bertukar nakhoda (pimpinan), kapal dan haluan tetap sama bermatlamatkan pembentukan negara Islam.

“PAS sentiasa kekal tegas dalam prinsip tetapi boleh bertolak ansur dalam hal-hal teknikal yang wujudnya tahalluf dan ta’awun siyasi,” ujar beliau.

Beliau menyampaikan mutiara kata penuh motivasi buat pejuang Islam sewaktu Tahlil, Munajat Perdana dan Tazkirah Maghrib di Dewan PASTI Pra Tahfiz Jabal Nur, Gunung Semanggol di sini kelmarin.

Beliau turut menyingkap kisah para pejuang PAS dahulu yang telah meninggal dunia dan istiqamah walaupun berdepan pelbagai ujian tetapi sanggup berkorban nyawa sekalipun.

Oleh itu peringatnya, generasi kini jangan menyeleweng hala tuju PAS daripada yang ditubuhkan para ulamak terdahulu dan tidak khianat sebagai salah satu cara istiqamah masa kini.

Jelasnya, Allah tidak melarang berbaik-baik dengan pihak yang tidak menyerang agama, sebaliknya melarang berbaik dengan golongan menyerang Islam.

“Perjuangan kita sama seperti perjuangan zaman para Rasul terdahulu iaitu mentauhidkan Allah. Kesyirikan akan berlaku sekiranya hukum Allah diketepikan secara berleluasa bila pemimpin tidak faham Islam,” katanya.

Beliau juga menyeru generasi kini istiqamah hadir ke majlis tarbiyah supaya tidak terpesong dari perjuangan, selain menghadapi masalah dengan sentiasa bermunajat kepada Allah.

Aktiviti ini dikendalikan Urusan Ulamak PAS Kawasan Bagan Serai bersempena program Sambutan Ulangtahun PAS Kali Ke-68 Peringkat Negeri Perak yang berlangsung selama dua hari.

Sebelum itu, beliau mengetuai bacaan Tahlil untuk lebih 500 penama dan turut memperingati beberapa orang tokoh pimpinan PAS yang terbunuh dalam perjuangan termasuk ketika menjalankan tugasan pilihan raya.

Antaranya, mantan Presiden PAS, Almarhum Dr Burhanuddin Hilmi meninggal dunia pada tanggal 10 Oktober 1969 akibat penyakit lelah dan juga kesan seksaan yang beliau terima semasa dalam tahanan ISA.

Juga mantan wakil tunggal PAS dalam DUN Perlis ketika itu, Almarhum Cikgu Tahrim Ariffin meninggal dunia pada tanggal 8 Mac 1970 dalam satu peristiwa pembunuhan yang memeranjatkan di rumahnya di Perlis. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: