Selasa, 26 November 2019

Exco Pahang lapor polis dakwa tandatangan disalah guna

BERNAMA
 
 

Seorang Ahli Exco kerajaan Pahang membuat laporan polis mendakwa tandatangannya disalah gunakan dalam surat tawaran projek penswastaan menukar lampu yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata exco berkenaan mendakwa menyedari kewujudan surat yang kononnya dialamatkan kepada sebuah syarikat swasta itu semalam.

“Pengadu mendakwa pegawai khasnya telah menunjukkan surat tawaran tersebut yang apabila diteliti, beliau mendapati tidak pernah melihat surat itu apatah lagi menandatanganinya.

“Sehubungan itu exco berkenaan membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading di sini bagi membersihkan namanya daripada dikaitkan dengan projek tersebut,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan iaitu dokumen palsu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang penyelia syarikat pembekal bahan binaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, mendakwa seorang pekerjanya mengeluarkan resit palsu bernilai RM7,400 kepada pelanggan.

Pengadu mendakwa tindakan suspek terbongkar selepas seorang pelanggan membuat aduan tidak menerima barangan yang ditempah walaupun telah menjelaskan bayaran pendahuluan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.- Bernama


Tiada ulasan: