DR AZMAN IBRAHIM
“DR… ADA orang buat program bagi pukat kepada nelayan. Orang duduk tanya, mana Exco kita?”
Orang bagi silakan ambil. Tak ada masalah, itu rezeki. Tapi janganlah
fikir bila ada orang lain bagi pukat, maka Exco pun kena tiru bagi pukat
juga tahun ini.
Kita ada perancangan program yang jelas
untuk masyarakat nelayan dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri
Terengganu 2019-2023. Fokus utama bagi tahun 2018 dan 2019 ialah:
1. Program memperkayakan sumber perikanan dengan melabuhkan tukun
dan unjam. Kita dah selesai labuh tukun dan unjam bagi tahun 2018 dan
2019 dengan kos mencecah hampir jutaan ringgit di Perairan Kuala Besut,
Benting Lintang, Rhu 10, Pulau Bidong, Kuala Nerus, Marang dan Paka.
Tinggal satu lagi program labuh unjam yang kita nak sempurnakan tahun
ini di Perairan Pulau Redang.
2. Perumahan Penempatan
Semula Nelayan (PSN). Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menyiapkan
kerja tapak PSN dengan kos RM10 juta di Benting Lintang Besut, Seberang
Penarik Setiu dan Pulau Skepeng Kemaman. Kerja-kerja pembinaan akan
bermula pada tahun 2020 dengan kos RM13 juta lagi.
3.
Menyelesaikan secara berperingkat masalah muara cetek yang mendatangkan
masalah kepada pergerakan bot nelayan keluar masuk. Antara muara yang
sedang digali tahun ini ialah Muara Dungun dan Merang. Muara-muara lain
sedang menyusul insyaAllah.
4. Membincangkan secara serius
bersama Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu pencerobohan nelayan
asing. Kita tekankan supaya agensi penguatkuasaan di laut seperti APMM,
TLDM, Perikanan, Polis Marin dan Jabatan Laut disatukan di bawah satu
pengarahan. Alhamdulillah, dengan pelaksanaan Ops Naga maka mula nampak
keberkesanan operasi membanteras nelayan asing ini.
5. Membina bilik sejuk (cold room) dan tempat baiki bot (slip way) bagi Nelayan Marang. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan dan dijangka siap pada awal tahun 2020.
6. Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) yang turut dimanfaatkan oleh
masyarakat nelayan dalam bentuk pinjaman mudah tanpa faedah untuk
membeli enjin bot dan pelbagai kelengkapan kelaut.
7. Menangani pelbagai isu kebajikan nelayan yang terlibat dalam kemalangan di laut dan sebagainya.
8. Bersama LKIM, Nekmat dan PNK, kita tangani isu kekurangan
bekalan air batu di pelabuhan dan jeti-jeti perikanan Negeri Terengganu.
9. Untuk nelayan darat, kita telah buat beberapa siri
program melepaskan benih udang dan ikan di perairan sungai serta tasik.
Jumlah anak benih yang dilepaskan mencecah jutaan ekor bilangannya bagi
memperkayakan sumber perikanan darat.
Dalam Bajet 2019 memang
kita tak masukkan peruntukan untuk bantuan pembelian pukat dan
peralatan lain kerana kita ada fokus yang perlu diselesaikan. Tetapi
peruntukan ini kita sudah mohon untuk dimasukkan dalam Bajet 2020
sebagai satu lagi tambahan program cakna kita kepada nelayan.
*DR AZMAN IBRAHIM = Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan