KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan menerima keputusan dipindahkan ke Jawatan Penempatan Khas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa serta merta.
Dalam kenyataan hari ini, beliau reda dengan keputusan itu dan menyifatkan ada hikmah di sebalik ketentuan yang ditetapkan tuhan.
“Kita hanya merancang, Dia yang menentukan. Apa yang terjadi adalah di atas kehendak Nya dan ada hikmah di sebaliknya. Saya reda dan menerima keputusan ini dan mendoakan semoga ada sinar pencerahan.
“Hanya Allah yang mengetahui dan masa akan menentukan segala-galanya. Kita kerja kerana Allah dan rezeki ada di mana-mana,” katanya.
Menurut Sallehhuddin, sepanjang tempoh perkhidmatannya di kementerian itu bermula Februari 2014 sebagai SUB Pembangunan diikuti sebagai Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Mei 2015.
Katanya, pada Februari 2016, beliau Timbalan KSU Dasar dan sebagai KSU pada 2 Julai tahun lalu.
“Saya telah memberikan yang terbaik dalam memastikan Kementerian Pertanian menjadi satu kementerian yang dipandang tinggi dan ditadbir urus dengan baik.
“Di samping itu, tanggungjawab untuk menjamin sekuriti makanan, meningkatkan pendapatan golongan sasar dan pendapatan negara telah kita semua gembeling dalam satu team kementerian yang kukuh.
“Saya tidak pernah kesal, apatah merasa penat dalam menyumbang khidmat bakti dan terlah memberikan keseluruhan masa dan tenaga saya demi melaksanakan tanggung jawab yang diberikan,” katanya.
Katanya, beliau telah dikurniakan Allah tenaga dan kesihatan untuk terus bergerak 365 hari setahun tanpa henti.
“Saya berharap kepada rakan semua terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada kementerian dan sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan dan menteri, timbalan menteri serta bakal KSU kelak,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan