Sabtu, 30 November 2019

KPN mahu pastikan pasukan polis bebas dadah

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador melahirkan rasa bimbang 
apabila dalam tempoh dua bulan, kira-kira 260 anggota dan 
pegawai polis ditahan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
 
BANGKOK: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador nekad untuk memastikan pasukan polis bebas daripada dadah.

Beliau melahirkan rasa bimbang apabila dalam tempoh dua bulan, kira-kira 260 anggota dan pegawai polis ditahan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Saya jangka ini hanya separuh sahaja. Saya menjangkakan bilangannya akan meningkat kepada 500 orang. Ini adalah pegawai saya daripada pelbagai pangkat.

“Sebelum ini, masalah (penyalahgunaan dadah) tidak ditangani dengan betul. Sebagai ketua polis negara, saya amat prihatin dengan isu ini.

“Maka saya bertindak untuk membersihkan jabatan (polis),” katanya pada sesi soal jawab pada majlis ramah mesra Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bersama diaspora rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok semalam.

Abdul Hamid berkata, masalah penyalahgunaan dadah di negara ini telah mencapai tahap “kritikal” dan usaha diperhebat untuk memeranginya.

Beliau berkata, kes jenayah yang dilaporkan di Malaysia seperti ragut, curi dan rompak adalah berkait dengan penyalahgunaan dadah.

“Tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang ditahan hampir semua merupakan penagih dadah. Kita perlu mempergiatkan usaha dalam memerangi penyalahgunaan dadah,” katanya.

Berhubung persepsi “ketakutan terhadap jenayah” dalam kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing, Abdul Hamid berkata, polis bekerjasama dengan Universiti Malaya untuk menjalankan satu kajian.

“Kami mahu tahu sama ada ketakutan terhadap jenayah ini benar atau tidak. Kajian itu dijangka akan selesai pada April tahun depan,” katanya.

Tiada ulasan: