Sabtu, 30 November 2019

Ini bukan sekadar cerita abu mayat…

Syahril A. Kadir

61638885_2298728337059085_185918379645730816_n-1

PADA 26 April 1976, satu sejarah hitam tercatat apabila sebuah helikopter Nuri Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang membawa 11 orang pegawai dan anggota tentera jatuh ditembak akibat angkara pengganas komunis Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, Kedah.

Helikopter malang yang dalam perjalanan ke pos-pos tentera di perbatasan Malaysia-Thailand itu terbakar dan mengorbankan kesemua pegawai dan anggota termasuk juruterbang.

Perajurit yang terkorban ialah Major Haris Rejab, Kapt (Udara) Mustaffa Kamal Md Shaffie, Kapt (Udara) Choo Yeok Boo, Kapt Sulaiman bin Abdullah, Leftenan Ibrahim bin Zakaria, Leftenan (Udara) Wan Munsiff Wan Salim, Leftenan (Udara) Chung Ming Teck, Sarjan (Udara) Leong Yee Heong, Sarjan Khamis bin Dolmat, Koporal Kamarulzaman Zakaria dan L/Kpl Suandi bin Saim.

Mereka adalah antara segelintir daripada ribuan perwira negara yang mati dibunuh dengan kejamnya oleh pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya (PKM) yang diterajui oleh Chin Peng.

Itu belum dicampur jumlah ribuan orang awam yang darah mereka mengalir disebabkan perbuatan tidak berperikemanusiaan PKM yang berselindung atas nama ‘pejuang kemerdekaan’ ini.

Waktu darurat telah dikuatkuasakan, kegiatan komunis masih berleluasa di Tanah Melayu.

Setiap hari terdapat kejadian keganasan komunis yang dilaporkan berlaku di merata tempat. Hampir setiap hari terdapat nyawa manusia yang terkorban, lebih-lebih lagi orang awam yang tidak berdosa.

Dilaporkan juga hampir setiap hari terdapat harta benda yang tidak ternilai telah musnah disebabkan komunis. Dengan itu, kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menamatkan kehilangan nyawa, mengakhiri pertempuran dan kemusnahan serta kerosakan akibat daripada tindakan komunis.

Antara kejahatan yang dilakukan oleh komunis ialah serangan ke atas orang awam (orang Melayu, Cina, India, Orang Asli ), membakar kampung yang menyebabkan

penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda, menyerang estet getah dan lombong timah, melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan, membunuh peladang dan pelombong Eropah serta mengganggu sistem pengangkutan dan mensabotaj kemudahan asas.

Sebab itu isu abu Chin Peng ini jangan dipandang sinis dan remeh oleh kerajaan.

beberapa-individu-beri-keterangan-kes-abu-mayat-chin-peng_5de135fd491e9

Adalah SILAP BESAR kalau hanya melihat isu ini dari sudut tersurat semata-mata hingga melupakan perkara tersirat di sebalik apa yang terjadi.

Betul, ia cuma abu mayat tetapi ‘falsafah’ di sebalik ‘kembalinya’ Chin Peng itu telah menimbulkan kemarahan rakyat dan inilah yang gagal difahami.

Menganggap rakyat marah isu abu mayat Chin Peng disebabkan dia orang Cina adalah tidak tepat, ini kerana kaum Cina sendiri adalah antara kaum yang paling teruk menerima pembalasan dendam PKM.

Masa darurat, ramai orang Cina dibunuh dan diseksa kerana dianggap oleh PKM talibarut dan kerana keengganan mereka menyalurkan bantuan seperti makanan kepada anggota-anggota mereka yang bergerak dalam hutan.

Sayang sekali, kita begitu mudah menyanjung dan menerima perbuatan PKM hanya disebabkan isu abu ini.

20130923-205129

Sebab itu tidak hairan mengapa sewaktu PKM bermaharajalela membunuh orang awam masa darurat dulu, masih ada rakyat yang boleh termakan ‘jarum halus’ komunis hingga sanggup lari meninggalkan keluarga untuk menyertai mereka di dalam hutan.

Dan selepas berpuluh tahun, ‘jarum halus’ ini kembali memainkan peranannya dan hari ini, nampaknya makin ramai yang seolah-olah dapat menerima perbuatan kejam PKM sehingga meminta buku teks sejarah dikaji semula, pengorbanan anggota PKM diiktiraf dan sebagainya.

Kerajaan jangan salah langkah dalam menangani perkara ini.

Kalau tidak mahu ‘tragedi’ Tanjung Piai terus berulang, lakukanlah sesuatu kerana bila rakyat marah, mereka akan terjemahkannya dalam bentuk undi dan inilah yang terjadi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU lepas.

Sudah pasti kerajaan Pakatan Harapan tidak mahu nasib BN ‘berjangkit’ pada mereka dalam PRU akan datang.

Oleh itu belajarlah dari sejarah- kalau tak mahu ‘tinggal sejarah!’

Tiada ulasan: