Bagi tunggu laporan SKMM, pakar keganasan
KUALA KANGSAR –
Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 12 Disember hadapan sebagai tarikh
sebutan semula kes juruteknik S. Arivainthan dan pemandu teksi V.
Balamurugan yang dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE
sejak lima tahun lepas.
Hakim Rohaida Ishak menetapkan tarikh itu
bagi menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) dan pakar keganasan setelah mengambil kira permohonan peguam
Matthews Jude, yang mewakili kedua-dua tertuduh, untuk mempercepatkan
proses pendakwaan.
Pada 29 Oktober lepas, kedua-dua tertuduh
iaitu Arivainthan, 27, dan Balamurugan, 37, didakwa di Mahkamah Sesyen
Kuala Kangsar atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas
LTTE, sejak 2014.
Pada sebutan semula hari ini, Timbalan
Pendakwaraya Hasyutanti Khalil memohon mahkamah memberikan masa untuk
siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan setengah memandangkan laporan
SKMM dan pakar forensik masih belum diperoleh.
Bagaimanapun, perkara itu dibantah Matthews dan memohon kes itu disebut semula pada minggu hadapan.
Ia berikutan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
semalam menetapkan esok untuk memutuskan sama ada membenarkan atau
sebaliknya ikat jamin ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek,
Melaka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah
Khas) 2012 (SOSMA) kerana terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.
Terdahulu, Matthews memohon mahkamah
untuk memanggil dua pegawai penyiasat kes untuk mendapatkan penjelasan
mengenai laporan SKMM dan forensik yang masih belum diperoleh berkenaan.
Kedua-dua pegawai penyiasat itu
memberitahu mahkamah bahawa pihaknya sudah menghantar butiran untuk
meminta laporan daripada SKMM dan pakar keganasan pada 30 Oktober lepas
namun mereka dimaklumkan pihak SKMM memerlukan tempoh enam hingga 12
bulan bagi melengkapkan laporan.
Matthews memberitahu mahkamah bahawa
tempoh enam hingga 12 bulan terlalu lama untuk anak guamnya yang kini
ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Mengikut pertuduhan, Arivainthan dan
Balamurugan didakwa memberi sokongan kepada LTTE pada satu majlis di
Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara)
antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Disember 2014.
Selain itu, Balamurugan turut didakwa
memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE dalam
seunit telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A7 di Perkarangan Stesen
Teksi Sungai Siput (U) kira-kira pukul 9.40 pagi pada 10 Oktober lepas.
Pemandu teksi itu juga didakwa memiliki
dan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan
LTTE di sebuah premis di No.52 Taman Bukit Medan, Sungai Siput (U) pada
pukul 9.50 pagi pada 10 Okt lepas. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan