Isnin, 25 November 2019

Mahkamah dengar rayuan AG terhadap prosiding komital 12 Dis

MALAYSIAKINI
 
 

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 12 Disember ini untuk mendengar rayuan Peguam Negara Tommy Thomas terhadap prosiding komital yang difailkan bapa anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Hakim Mahkamah Tinggi Meor Hashimi Abd Hamid memutuskan untuk menolak permohonan Mohd Kassim Abdul Hamid untuk membatalkan rayuan Thomas terhadap keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang membenarkan prosiding komital atau menghina mahkamah, pada 27 Ogos lalu.

"Keputusan hari ini berkenaan permohonan bapa Allahyarham untuk membatalkan rayuan peguam negara.

"Mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan itu dengan asas bahawa keputusan Mahkamah Koroner boleh dirayu," kata peguam Thomas, Zainur Zakaria kepada pemberita selepas prosiding pagi ini.

"Mahkamah menetapkan 12 Disember ini untuk mendengar rayuan peguam negara terhadap keputusan yang dibuat koroner," katanya lagi.

Zainur berkata keputusan daripada pendengaran pada tarikh itu akan menentukan sama ada prosiding menghina mahkamah terhadap Thomas akan diteruskan atau tidak.

"Jika rayuan dibenarkan, maka tiada pendengaran untuk permohonan komital," katanya.

Thomas turut diwakili peguam Ambiga Sreenivasan. Keluarga Adib pula diwakili peguam Mohd Zubir Embong dan Aidil Khalid.

Pada 16 Julai lalu, Kassim memfailkan permohonan ex-parte untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas berhubung afidavit yang menyatakan punca kematian Adib bukan disebabkan kecederaan daripada dakwaan serangan ketika rusuhan sekitar Kuil Seri Maha Mariamman di Subang Jaya, November tahun lalu.

Thomas memfailkan afidavit itu pada 3 April ketika inkues menyiasat kematian Adib sedang berjalan.

Pada 27 September, Rofiah memutuskan kematian Adib akibat dipukul "dua atau tiga individu tidak dikenali".

Adib, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba Subang Jaya mengalami kecederaan serius ketika rusuhan yang berlaku 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember ketika menjalani rawatan di Instituj Jantung Negara di Kuala Lumpur.


Tiada ulasan: