Khamis, 28 November 2019

Kerusi keselamatan kanak-kanak tumpuan Parlimen hari ini

azrul hakimie

 

Tidak ketinggalan 16 projek land swap melibatkan tanah seluas 1,183 hektar

KUALA LUMPUR – Isu 16 projek ‘land swap’ yang melibatkan 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan bernilai RM4.7 bilion antara yang dijangka menghangatkan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ia terkandung pada soalan pertama sesi Waktu Pentanyaan-Pertanyaan Menteri yang dibangkitkan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang turut ingin tahu status tindakan kerajaan terhadap semua pihak yang terlibat dengan pembelian enam helikopter McDonnell Douglas yang masih tidak diterima sehingga kini.

Selain itu, turut dibangkitkan ialah pertanyaan dari Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu sama ada sistem e-Lelong akan dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Malaya dan sama ada kajian impak kepada sara hidup pelelong bertauliah telah dijalankan.

Tumpuan juga dijangka pada sesi soal pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan yang antara lain soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu secara menyeluruh cara pelaksanaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang diumumkan baru-baru ini.

Soalan lain seperti dipaparkan dalam laman web Parlimen itu ialah daripada Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang meminta penjelasan berkaitan perancangan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan dalam membangunkan ekonomi negara dan bagaimanakah ianya mampu meningkatkan pendapatan per kapita.

Turut mencuri tumpuan adalah pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang meminta penjelasan kerajaan untuk langkah membendung gejala jenayah seksual seperti perzinaan, sumbang mahram, khalwat dan LGBT yang semakin berleluasa dalam masyarakat hari ini.

Usai sesi itu, persidangan beralih pula kepada pembentangan Kementerian Kewangan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Pendapatan (Pindaan) 2019, Rang Undang-Undang Petroleum (Cukai Pendapatan) (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2019.

Persidangan kemudian terarah kepada Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 berkenaan Belanjawan 2020 sebelum berehat dan bersambung pada Isnin.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember depan. – Bernama


Tiada ulasan: