Sabtu, 23 November 2019

PH kalah PRK sebab kos sara hidup – Tun M

Mohammad Arif Nizam
MGF23112019_PC-PEMIMPIN-PH06
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL
 

PUTRAJAYA – Punca kekalahan teruk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini merupakan amaran daripada rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana terdapat usaha yang dilakukan kerajaan tidak disukai rakyat terutamanya berkaitan kos sara hidup.

Beliau yang juga Pengerusi PH memberitahu, faktor lain pula apabila tuduhan dibuat ke atas PH yang telah dikuasai sepenuhnya oleh DAP mengikut tanggapan orang Melayu.

“Kaum Cina pula berpendapat DAP telah dikudakan saya daripada Bersatu (Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia).

“Jadi nampak seimbang apabila kedua-dua pihak tidak puas hati. Kita tidak boleh puaskan semua orang tetapi situasi sekarang rakyat tidak berpuas hati walaupun kita bersikap adil kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PH, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Mahathir menambah, pihaknya telah mendengar taklimat bedah siasat PRK Tanjung Piai dan perlu mengambil teguran yang diberikan.

Namun jelas beliau, teguran tidak boleh dikongsi secara umum dengan pihak media.

“Tapi saya tidak boleh cerita pada media teguran itu dan apa yang perlu dilakukan tapi masing-masing tahu kesalahan serta kita ambil tindakan untuk atasinya,” katanya.

Pada PRK Tanjung Piai yang berlangsung 16 November lalu, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi.

Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH iaitu Karmaine Sardini daripada Bersatu hanya 10,380 undi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: