Isnin, 25 November 2019

Kes rasuah libatkan penjawat awam di Terengganu terkawal

Nur Fazlizai Ali, Astro Awani
Kes rasuah libatkan penjawat awam di Terengganu terkawal
Mohd Zaki berkata, siasatan pihaknya masih diteruskan sebelum kes rasuah melibatkan seorang pegawai kanan polis di Terengganu dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya. - Astro AWANI
 

KUALA TERENGGANU: Kadar penglibatan penjawat awam dalam kes rasuah di negeri Terengganu masih dalam keadaan terkawal.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu Mohd Zaki Hassan berkata, menerusi siasatan yang dijalankan, terdapat pengurangan kes, khususnya melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perhutanan.

Katanya, ketika ini, siasatan lebih menjurus kepada kes perolehan.

"Sekarang ini, kita lebih kepada perolehan, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 11C, atau Seksyen 23 (Akta SPRM 2009), bukan lagi meminta dan menerima (rasuah)," katanya.

Sebelum ini, penguatkuasaan SPRM memberi lebih tumpuan terhadap kes berkaitan alam sekitar dan maritim kerana pelakuan rasuah membabitkan isu itu seperti pencerobohan hutan dan maritim, menyebabkan negara kehilangan aset bernilai jutaan ringgit.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zaki berkata, SPRM Terengganu masih meneruskan siasatan berhubung kes rasuah membabitkan seorang pegawai kanan polis di negeri ini.
Katanya, hasil siasatan setakat ini mendapati, hanya individu berkenaan sahaja yang terlibat.

Menurut Mohd Zaki, pegawai berkenaan juga telah dilepaskan dengan jaminan SPRM pada Ahad.

"Siasatan kita masih diteruskan sebelum kita kemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan," tambahnya.

Terdahulu, seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu ditahan SPRM dan direman enam hari bermula 17 Nov lalu bagi membantu siasatan berhubung kes suapan bernilai RM80,000.

Tiada ulasan: