Selasa, 26 November 2019

Susulan pengakuan SPRM, PKR Bera gesa pemecatan Zakaria ditarik balik

MALAYSIAKINI 
 


Susulan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, PKR Bera menggesa lembaga disiplin parti itu menarik balik pemecatan ketua cabangnya Zakaria Abd Hamid dan seorang anggota jawatankuasanya Ismail Dulhadi.

Dalam kenyataan hari ini, PKR Bera juga menuntut "pihak yang melakukan fitnah" untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana telah merosakkan imej cabang tersebut.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus berkenaan pihak yang dimaksudkan.

"PKR Bera mendesak lembaga disiplin parti menarik balik serta-merta pemecatan anggota cabang kami kerana tindakan itu ternyata terkhilaf, tersasar dan tanpa keadilan hakiki.

"Seluruh anggota dan jawatankuasa cabang mengingatkan pimpinan tertinggi agar jangan terkhilaf lagi dalam melaksanakan agenda keadilan dan reformasi yang kita pelopori," kata PKR Bera dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani oleh setiausaha cabang Dahalan Ismail dan tiga naib ketua cabang iaitu Mohd Shakri Othman, S Saravanan dan Hamzah Bawa.

Semalam Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata terdapat kekhilafan oleh Ketua Cawangan Laporan SPRM (LSPRM) dalam penghantaran surat kepada PKR yang mencadangkan tindakan tatatertib kepada Zakaria dan Ismail.

"...Laporan salah laku hanya dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri. Bukan polisi SPRM untuk membuat laporan sedemikian kepada mana-mana parti politik," kata Azam, sambil memaklumkan pihaknya akan menghantar surat kepada lembaga disiplin PKR untuk menjelaskan perkara itu.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata kekhilafan yang timbul hanya melibatkan soal prosedur - iaitu surat kepada parti itu - dan bukan fakta siasatan yang dijalankan.

"Pertama, ada aduan dibuat, kedua ada siasatan dibuat SPRM dan dalam surat SPRM itu diberi perincian bahawa mereka telah menemui semua pengadu, saksi dan telah nyatakan pandangan SPRM yang jelas menyebut bahawa ada melakukan kesalahan. Sangat jelas pada pandangan SPRM ada berlaku kesalahan. Jadi soal SPRM khilaf itu dari segi prosedur saja," katanya.

Pada masa sama, seorang lagi naib presiden PKR iaitu Tian Chua menyuarakan bantahannya terhadap pemecatan Zakaria dan Ismail.

"Jelas proses sebetulnya tidak diikuti. Selaku parti yang diasaskan daripada gerakan pembaharuan dan keadilan, malang apabila tindakan seperti itu diambil," katanya dalam kenyataan.

"Saya maklum beberapa pihak cuba menjustifikasikan tindakan tak adil itu dengan menyalahkan ketidakhadiran beberapa anggota Majlis Pimpinan Pusat (di mesyuarat). Tetapi dakwaan insiden 'salah laku' itu dibuat setahun lalu - jadi mengapa tiba-tiba mengambil tindakan drastik?" soalnya.

Beliau meminta pengerusi lembaga disiplin PKR Ahmad Kassim menarik balik pemecatan itu dan menyatakan keyakinannya bahawa presiden parti Anwar Ibrahim akan memilih kaedah yang lebih munasabah dan damai untuk menyelesaikan pergeseran dalam parti itu.


Tiada ulasan: