Sabtu, 30 November 2019

Hormat keputusan mahkamah, ajar tulisan Jawi di sekolah vernakular

Kumara Sabapatty
MGF30112019_MUJAHID-HADIR-DI-TSUN-JIN07
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa (dua kiri) diiringi Ahli Jawatan Kuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong (kiri) bergambar kenangan bersama ahli akademik dan peserta seminar ketika hadir pada Seminar Akademik Antarabangsa "Menerokai Masa Depan Pendidikan, Konsep, Metodologi dan Pragmatik" di Dewan Auditorium, Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM
 

KUALA LUMPUR – Semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam yang memberi kebenaran tulisan Jawi diajar di sekolah vernakular Cina dan Tamil di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, keputusan yang ditentukan melalui proses keadilan undang-undang kehakiman mahkamah dan bukan berdasarkan keputusan politik.

“Benda ini (tulisan Jawi) siapa sahaja boleh pergi (mencabar) di mahkamah sebab Malaysia negara bebas. Gerakan bawa kes ini ke mahkamah (halang pelaksanaan tulisan jawi). Tapi mahkamah telah pun memutuskan bahawa kerajaan berhak mengajar Jawi di Sekolah Cina dan Tamil.

“Maka kita hormati keputusan mahkamah. Ini bukan keputusan politik,” katanya kepada pemberita selepas berucap dan merasmikan Seminar Akademik Antarabangsa bertajuk Menerokai Masa Depan Pendidikan: Konsep, Metodologi dan Pragmatik di Sekolah Menengah Tsun Jin Jalan Loke Yew di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau mengiktiraf perlembagaan sekolah persendirian Cina dalam menyumbang perpaduan negara, Mujahid berkata, semua pihak termasuk Persatuan Pengurusan Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) dan juga sekolah-sekolah yang berdaftar di bawah naungan Dong Zong mempunyai peranan besar mencapai misi tersebut.

“Selagi mana mereka mendaftar dan mahu menyumbang pada perpaduan dan pembangunan negara sudah tentu saya harapkan mereka dapat menyumbang pada kepentingan nasional.

“Kita mahu di negara ini semua semua pihak ada satu mindset walaupun bergerak atas apa jua persatuan pendidikan tapi semua mesti ada agenda besar, dan agenda besar tak ditentukan oleh mereka tapi sejajar dengan dasar negara yang ditetapkan,” tegasnya.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Khamis lalu membenarkan kerajaan mengajar tulisan Jawi di sekolah Cina dan sekolah Tamil sekaligus mengenepikan permohonan parti Gerakan supaya pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Amarjit Serjit Singh dalam keputusannya berkata Jawi sebahagian daripada Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Pelaksanaan kelas Jawi tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: