Selasa, 26 November 2019

Penjelasan terlalu mentah - Zuraida

Idris Musa
 
 

“SOAL saya hadir atau tidak ke mesyuarat parti tidak relevan untuk dibincangkan atas isu ini,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin.

Beliau membalas respons diberikan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berhubung isu pemecatan dua ahli parti itu semalam.

Menurutnya, apa pun status kehadiran beliau dalam mesyuarat tidak sama sekali harus menjejaskan prinsip keadilan yang perlu dilaksanakan ke atas ahli parti.

“Saya sudah membaca respons diberikan Pengarah Komunikasi Keadilan (PKR) mengulas kritikan yang saya lontarkan berhubung isu pemecatan anggota MPP (Majlis Pimpinan Pusat) Zakaria Abdul Hamid.

“Penjelasan yang diberikan pegawai lantikan ini adalah terlalu mentah dalam mengulas isu politik dan berdasarkan kenyataannya itu, jelas beliau tidak memahami isu yang saya utarakan.

“Isu yang saya utarakan amat jelas dan mudah, pemecatan ini tidak mengikut proses wajar,” katanya dalam kenyataan susulan hari ini.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam kenyataan awalnya berkata, pemecatan dilakukan hanya akan mendatangkan tanda tanya, apakah ia dilakukan dengan memilih bulu.

“Saya dengan ini mengecam tindakan pilih bulu yang dilakukan parti dan menggesa supaya reformasi kepimpinan dilakukan segera, sekiranya parti ini ingin diselamatkan,” katanya.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyifatkannya sebagai tidak faham punca sebenar pemecatan dua ahli terbabit iaitu Zakaria dan seorang lagi ahli biasa, Ismail Dulhadi.

Fahmi dilaporkan berkata, Zuraida akan faham tindakan yang terpaksa diambil terhadap dua individu itu jika tidak culas daripada menghadiri mesyuarat parti.

“Saya rasa kalau beliau hadir mesyuarat Biro Politik dan mesyuarat MPP semalam, maklumat penuh disampaikan kepada kami. Ia cukup jelas kenapa tindakan (pecat) itu diambil,” katanya seperti dipetik.

Media melaporkan, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim semalam mengesahkan Zakaria yang juga Ketua Cabang PKR Bera dan Ismail dipecat serta-merta selepas didapati terbabit dalam isu rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Tiada ulasan: