Sabtu, 23 November 2019

Tak kuasai bahasa Melayu pun, ramai juga warga asing

Oleh Fazleen Safina

 

Cadangan Nepal bukti bahasa Melayu boleh gah di negara serantau


BANGI– Kenyataan Dr Maszlee Malik bahawa pembelajaran subjek Bahasa Melayu di Nepal kelak – sekiranya dipersetujui Kabinet Nepal – akan memberi manfaat kepada rakyat negara itu sekiranya mahu bekerja di Malaysia agak membimbangkan.

Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, Kerajaan Malaysia perlu memastikan peluang pekerjaan yang wujud dalam negara perlu diberikan kepada rakyat Malaysia dahulu sebelum dibuka kepada orang luar.

Beliau berkata, polisi dan dasar kerajaan Malaysia perlu jelas dalam bab menyediakan peluang pekerjaan yang bermaruah untuk rakyat Malaysia.

“Tanpa menguasai bahasa melayu lagi pun, sudah terlalu ramai pekerja asing yang membanjiri negara.

“Menteri Sumber Manusia perlu tegas dalam bab ini demi memastikan peluang pekerjaan berwibawa dan bermaruah untuk rakyat Malaysia tidak sewenang-wenangnya dilepaskan kepada pendatang asing,” katanya.

Terdahulu, Nepal bercadang memperkenalkan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran elektif di sekolah di negaranya, bagi melengkapi pelajar dengan kemahiran berkomunikasi untuk menceburi bidang profesional di Malaysia.

Dr Maszlee yang juga Menteri Pendidikan difahamkan mengesyorkan supaya menubuhkan institut bahasa di negara Asia Selatan itu, untuk mengajar BM kepada rakyat Nepal.

“Terdapat kira-kira 357,000 rakyat Nepal bekerja di Malaysia ketika ini, terutamanya dalam sektor keselamatan (pengawal keselamatan), pembuatan dan hospitaliti.

“Mengajar BM dan menubuhkan institusi akan memberi manfaat apabila rakyat Nepal mahu bekerja di Malaysia, kerana mereka akan mampu berkomunikasi dengan baik dan meningkatkan kerjaya mereka,” kata Maszlee.

Menyambut baik hasrat Nepal, Iqbal berbesar hati kerana ia mmembuktikan bahasa Melayu mulai dikenali dan disebarkan di negara-negara serantau.

Beliau berkata, sejarah dunia menunjukkan bahasa Melayu pernah menjadi Lingua Franca, bahasa sebuah tamadun yang memimpin sosial, ekonomi dan ilmu di rantau nusantara bahkan di seluruh dunia.

“Maka, usaha untuk melestarikan bahasa Melayu di negara-negara serantau wajar diberikan sokongan oleh kerajaan Malaysia.

“Selain diperluas pengajarannya ke negara-negara serantau, bahasa Melayu perlu dilestarikan dalam negara dengan lebih efektif dan berkesan.

“Dengan pelestarian bahasa Melayu yang mantap dalam negara, maka negara-negara lain akan lebih tertarik untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu,” katanya.


Tiada ulasan: