Sabtu, 30 November 2019

4 sungai di Pahang melepasi paras berjaga-jaga

Asrol Awang
 


EMPAT sungai utama di Pahang terus menunjukkan peningkatan petang ini apabila melepasi paras berjaga-jaga berikutan hujan lebat, berbanding hanya tiga sungai pagi tadi.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, sehingga 6 petang hari ini, senarai sungai itu membabitkan tiga di Kuantan dan satu di Jerantut.

Di Kuantan, Sungai Kuantan di Pasir Kemudi mencecah 5.54 meter (m) berbanding bacaan normal dua meter, Sungai Belat dekat Sri Damai pula 3.49m berbanding normal 1.50m, manakala Sungai Lepar di Jambatan Gelugor merekodkan 28.62m berbanding normal 27 meter.

Manakala Sungai Tembeling, Kuala Tahan, Jerantut pula mencatat 66.71m berbanding bacaan normal 60m.

Pada sebelah pagi, Sungai Lipis di Batu Malim, Raub mencatat 114.03m iaitu hampir dengan paras amaran 114.24m, namun menunjukkan penurunan di bawah bacaan normal 113.2m.

Sehubungan itu, penduduk tinggal di kawasan rendah terutama berhampiran sungai dinasihatkan sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berpindah jika berlaku banjir.

Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca peringkat waspada dengan hujan lebat dijangka berterusan di Pahang sehingga Isnin ini.

MET Malaysia dalam kenyataan, hari ini, menyatakan hujan lebat dijangka berlaku di tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Jerantut.

Tiada ulasan: