Rabu, 27 November 2019

Bendera 5 bintang siri cubaan ubah identiti negara

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Mohon maaf sahaja tak cukup, kerajaan perlu ambil tindakan tegas

BANGI – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa kerajaan supaya bertindak tegas terhadap Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), susulan isu ‘kecacatan’ imej bendera Malaysia apabila bintang pecah 14 diubah menjadi lima sahaja.

Ketua Pemuda Isma, Arifin Manan berkata, permohonan maaf sudah tidak lagi mencukupi berbanding tindakan tegas supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain.

Mengutuk kesilapan yang dianggap disengajakan itu, beliau menyifatkannya sebagai siri cubaan untuk mengubah identiti negara oleh pihak pengkhianat.

“Oleh kerana kerajaan tidak bertegas pada kes-kes seumpama sebelum ini, maka puak cauvinis tidak sedar diri ini akan sentiasa buat sesuka hati mereka.

“Datang tidak dijemput, bertamu tidak beradab. Api yang semakin membara ini harus dipadam segera. Tidak mustahil negara yang aman ini, akan terjebak ke kancah kehancuran dan huru-hara akibat kelemahan kerajaan bertindak,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial klip video yang memaparkan Jalur Gemilang dengan lima bintang bersama logo Westport ditayangkan ketika nyanyian lagu Negaraku.

Kesilapan memaparkan bendera Malaysia ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam mendapatkan kecaman hebat dalam kalangan netizen.

Rata-rata netizen menyifatkan, lima bintang yang tertera pada bendera itu seperti bendera komunis.

Seperti dijangka, MABA memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan lima bintang ketika perasmian kejohanan bola keranjang, semalam.


Tiada ulasan: