Sabtu, 30 November 2019

445 mangsa dipindahkan di Terengganu akibat banjir

Pemandu memperlahankan kenderaan mereka ketika melalui 
Jalan Keruak di Hulu Besut ke Jertih, selepas air dari Sungai 
Besut melimpah ke jalan raya di Kampung Gertak Jerubun, 
Pasir Akar, hari ini. (Gambar Bernama)
 
BESUT: Hujan lebat yang berterusan di daerah Setiu dan Besut sejak semalam menyebabkan 445 mangsa daripada 142 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A Rahman berkata, 4 PPS dibuka di Setiu menempatkan 161 mangsa daripada 70 keluarga.

“Di Besut pula, 6 PPS dibuka membabitkan 284 mangsa daripada 72 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PPS yang dibuka di Setiu ialah Surau Kampung Hulu Seladang yang menempatkan 41 mangsa, Sekolah Kebangsaan Kampung Besut (67), Dewan Kampung Besut (11) dan Masjid Kampung Merbau Menyusup (42).

Di Besut pula katanya, PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Felda Tenang yang menempatkan 24 mangsa, Dewan Terbuka Belaoh (36 mangsa), Masjid Kampung La (182), Sekolah Kebangsaan Sri Payung (6), Surau Seberang La (15) dan Surau PPRT Kg Belaoh (21).

Sementara itu, paras air di 2 sungai masih melebihi paras bahaya, iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak setinggi 35.20m berbanding paras bahaya 35m dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu setinggi 21.20m melepasi paras bahaya 21m.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my/ melaporkan Sungai Dungun di Pasir Raja merekodkan bacaan 37.17m mengatasi paras amaran 36.75m, manakala Sungai Telemong di Kuala Ping daerah Hulu Terengganu merekodkan bacaan 17.97m berbanding paras amaran 17.7m.

Selain itu, Sungai Setiu di Kampung Besut pula merekodkan bacaan 21.48m melepasi paras amaran 20.8m.

Tiada ulasan: