Khamis, 14 November 2019

BBC 'gasak' Mujahid di Hardtalk

MALAYSIAKINI
 
 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa dilaporkan "digasak" semasa rancangan Hardtalk di BBC oleh pengacara Zeinab Badawi.

Mujahid semasa menjawap soalan cuba menyampaikan hujahnya bahawa pentadbiran Pakatan Harapan menyokong Islam sebagai kuasa progresif.

Walau bagaimanapun, menteri yang bertanggungjawab terhadap porfolio agama Islam itu "digasak" apabila ditanya mengenai kenyataannya pada Mac lalu yang menyifatkan penceramah kontroversial Dr Zakir Naik sebagai satu "inspirasi".

Mujahid juga disoal mengenai rusuhan kuil Seafield dan catatan berbaur perkauman di media sosial, layanan Putrajaya kepada komuniti kecil pengikut Syiah di negara ini serta tindakan mahkamah ke atas NGO, Sisters in Islam.

Ditanya sama ada agama menjadi halangan utama terhadap integrasi nasional, di negara ini, Mujahid tidak bersetuju dan berkata "agama harus menjadi faktor utama pertumbuhan dan kemakmuran negara."

Zeinab kemudian memetik kenyataan tokoh akademik Lee Hwok Aun sebagai berkata bahawa rakyat Malaysia tidak mempunyai peluang untuk membangun persahabatan antara etnik kerana sekolah kurang kepelbagaian.

Dia merujuk manipulasi politik yang menyebabkan ketegangan etnik dan tidak mempunyai pengetahuan agama, khususnya di kalangan umat Islam (mengenai agama lain).

Mujahid dalam jawapannya berkata Islam sebagai agama persekutuan adalah penting tetapi mendakwa bahawa pentadbiran sebelum ini (BN) yang menyalahgunakan agama dan bangsa.

"Apabila kita berkuasa, kita menolak menjadi kerajaan yang menggunakan dan mengeksploitasi agama dan kaum untuk tujuan politik. Jadi atas sebab itu sekarang, kita mencadangkan atau cuba menganjurkan Islam sebagai agama yang progresif.

"Dan sekarang, adalah naratif baru Islam di Malaysia dengan kerajaan baru, dengan apa yang kita sebut Islam yang penuh kasih sayang, yang kita harap akan mencetuskan perpaduan negara," katanya dan bersetuju bahawa ini agak mencabar bagi pentadbiran baru itu.

Audio wawancara penuh itu boleh diakses di sini.

Tiada ulasan: