Jumaat, 22 November 2019

Larang baca ayat Quran: KM Melaka bersuara untuk siapa?

tyrazalhe

 

Adly patut beri respon neutral bukannya sibuk pertahan Fort Pin

BANGI – Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sepatutnya memberikan respon yang lebih neutral atau memilih untuk berdiam daripada menjadi penyambung suara kepada Timbalan Speaker DAP, Datuk Dr Wong Fort Pin. 

Selasa lalu, tersebar video suasana tegang ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, apabila Fort Pin tidak membenarkan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron membaca ayat al-Quran bagi mengakhiri perbahasan.

Berlaku pertikaman lidah beberapa minit antara Idris dan Fort Pin, sehingga ADUN Asahan, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan yang mengambil giliran berbahas, campur tangan dengan memberi laluan untuk Idris membacakan petikan ayat al-Quran berkenaan.

Selepas diasak wakil kerajaan dan pembangkang, Fort Pin akhirnya akur dan meminta Idris meneruskan bacaan petikan al-Quran berkenaan.

Bagaimanapun, kelmarin, Adly tampil memberi respon mempertahankan tindakan Fort Pin kerana kononnya untuk menghormati masa yang telah diperuntukkan.

“Kenyataan yang menyatakan timbalan speaker tak menghormati ayat Al-Quran tidak benar dan saya harus perbetulkan, semalam kedudukan utama kita adalah masa.

“Saya beritahu timbalan speaker kita menghormati Al-Quran kerana dia menghormati masa. Masa bagi kita cukup penting. Semalam kita beri masa 13 minit, lebih 3 minit (kepada Idris) daripada orang lain,” kata Adly.

Kesal dengan perkara itu, Ketua Perhubungan Negeri Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka, Ustaz Mohd Khoushaini Mohd Naim mempersoalkan tindakan Adly mempertahankan Fort Pin, berbanding menjaga perasaan majoriti 64 peratus umat Islam di negeri itu.

“Bukankah tindakan biadab Timbalan Speaker itu telah ditegur oleh wakil kerajaan dan pembangkang? Sehinggakan beliau akhirnya terpaksa akur seterusnya meminta YB Sungai Udang, Idris Haron meneruskan bacaan petikan al-Quran berkenaan. Mengapakah perlu dipertahankan lagi?

“Hujah Ketua Menteri menggunakan dalil surah Al-Asr juga tidak tepat, bahkan tidak menafikan kebiadaban Timbalan Speaker yang berkeras enggan memberi kebenaran, sungguhpun YB Asahan memberi laluan memperuntukkan masa sendiri kepada YB Tangga Batu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak itu, beliau berkata, ISMA Melaka menggesa rakyat di negeri berkenaan supaya terus bangkit mempertahankan isu-isu berkaitan umat Islam.

“Jangan kita leka dan tidur lena lagi, sedarlah bahawa agama dan bangsa kita sedang dihina,” katanya.


Tiada ulasan: