Sabtu, 23 November 2019

'Setelah berkuasa nada Dr M terhadap Sosma berubah'

MALAYSIAKINI
 
 

Bekas senator Ezam Mohd Noor berkata kenyataan Perdana Menteri Dr Manathir Mohamad berhubung Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bercanggah dengan pendiriannya sebelum ini.

Menurut Ezam, nada dan pendirian Mahathir berubah selepas kembali berkuasa apabila memenangi pilihan raya umum ke-14.

"Pada tahun 2015, sebelum beliau berkuasa, Mahathir mengkritik keras Sosma setelah setiausaha politik beliau Matthias Chang ditahan di bawah Sosma.

"Hari ini setelah berkuasa nada PM berbeza sama sekali," kata Ezam dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan perdana menteri semalam yang mengatakan Malaysia masih memerlukan Sosma bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan ahli keluarga tahanan Sosma yang mahu akta itu dimansuhkan.

Jelas perdana menteri, akta itu diperlukan bagi mengekang sebarang aktiviti keganasan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman negara.

“Banyak isu keselamatan yang terlibat berkaitan Sosma dan bukan sahaja aktiviti keselamatan seperti kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan Islamic State (IS)," katanya pada sidang media di Bangi.

'Pemimpin PH perlu desak Dr M mansuhkan Sosma'

Menurut Ezam, kenyataan Mahathir itu jelas bercanggah dengan kenyataan dibuatnya pada Julai 2018 untuk memansuhkan Sosma yang diluluskan di era bekas perdana menteri Najib Razak.

Malah katanya, Mahathir menyebut sekiranya berlaku kematian dalam tahanan tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan.

Sehubungan itu Ezam menggesa pemimpin PH mendesak perdana menteri mengotakan janjinya untuk memansuhkan undang-undang berkenaan memandangkan isu itu membabitkan hak asasi manusi.

"Haram dan zalim bagi sebuah kerajaan menahan sesiapapun walau sehari pun tanpa bicara dan hak untuk membela diri. Ini bukan soal 28 hari atau 60 hari. Sehari pun tidak boleh dikompromi," katanya lagi.

Untuk rekod, Sosma membenarkan individu yang ditangkap ditahan selama 28 hari tanpa perbicaraan bagi tujuan siasatan.

Tambah Ezam, ramai dalam pimpinan PH sendiri pernah dizalimi apabila ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang secara prinsipnya tidak berbeza dengan Sosma.


Tiada ulasan: