Khamis, 14 November 2019

Kempen rumah ke rumah tak perlu permit polis - AG

MALAYSIAKINI






Peguam Negara Tommy Thomas hari ini mengesahkan bahawa semua kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu adalah sebagai aktiviti pilihan raya yang tidak memerlukan permit polis.

Katanya, aktiviti berkempen, termasuk kempen bergerak dan rumah ke rumah bagi tujuan pilihan raya adalah penting di dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Pengumuman yang dibuat oleh pihak polis akan keperluan permit polis ini dilihat adalah menurut Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya.

“Dalam hal ini, peruntukan ini tidak secara jelas merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu.

“Hakikatnya sejarah membuktikan bahawa semenjak tahun 1955, kaedah-kaedah untuk meraih pengundi ini adalah yang paling popular digunakan oleh calon-calon dari kesemua parti politik, dan tanpa perlu untuk mendapatkan permit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Thomas berkata perlu diingati bahawa mengundi merupakan hak asasi yang jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sejak 1955, 14 pilihan raya umum selain ratusan pilihan raya kecil telah diadakan bagi membolehkan para pengundi memilih ahli parlimen dan wakil rakyat mereka.

“Aktiviti berkempen bagi tujuan pilihan raya-pilihan raya ini adalah penting di dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya.

Isu itu menjadi punca kekeliruan apabila Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun pada Selasa lalu dilaporkan berkata semua parti dan calon yang bertanding pada pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai perlu mendapat permit polis untuk kempen bergerak, termasuk yang dibuat dari rumah ke rumah.


Tiada ulasan: