Selasa, 9 Julai 2019

Usul tambah kerusi DUN Sabah dibentang di Dewan Rakyat minggu depan

Radhi Muslim, Astro Awani
Usul tambah kerusi DUN Sabah dibentang di Dewan Rakyat minggu depan
Kerajaan dijangka akan mengusulkan draf Perintah Perlembagaan Persekutuan tersebut bersama dengan Laporan SPR untuk pembentangan di Dewan Rakyat pada 17 Julai 2019. - Gambar hiasan
 

SANDAKAN: Usul tambah kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibentang di Dewan Rakyat 17 Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong.

Menurutnya, draf bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) Negeri Sabah telah diletakkan di meja setiap ahli Parlimen pada Isnin.

Turut disertakan, Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun 2017 mengenai Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-syor Yang Dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Di dalam Negari Sabah.

“Seperti sedia maklum, Pindaan Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah terhadap Perkara 14 Fasal (2) bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu dari 60 kerusi kepada 73 kerusi telah berkuatkuasa pada 18 Ogos 2016.

“Pada Februari 2017, laporan SPR tersebut telah diserahkan kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Namun, Laporan SPR tersebut tidak diusul untuk pembentangan pada Sidang Parlimen Ke-13 yang lepas di bawah Kerajaan Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Liew berkata, pada Jun 2018, SPR telah menyerah semula Laporan SPR tersebut kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Setelah meneliti laporan SPR tersebut, Kerajaan Pakatan Harapan memutuskan adalah penting untuk menyediakan perwakilan demokrasi yang mencukupi dan efektif untuk rakyat Sabah mengikut permintaan semasa.

“Justeru, kerajaan dijangka akan mengusulkan draf Perintah Perlembagaan Persekutuan tersebut bersama dengan Laporan SPR untuk pembentangan di Dewan Rakyat pada 17 Julai 2019,” katanya.

Tiada ulasan: