Selasa, 9 Julai 2019

Bubar Bersatu, Amanah jika tak mahu Melayu berpecah, kata Umno

Oleh SM Amin


PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi menolak tawaran untuk parti itu menyertai Bersatu sebaliknya mendesak parti itu dan Amanah dibubarkan sekiranya tidak mahu kuasa politik Melayu terus berpecah.

Zahid berkata Umno tegas untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti atau tokoh tertentu yang menjalinkan hubungan dengan parti yang mengenepikan soal Melayu dan Islam.

“Kalau tidak mahu perpecahan itu berlaku kerana antara parti yang wujud itu adalah Bersatu dan Amanah, buangkanlah Bersatu, bubarkan Amanah.

“Pendirian Umno, kita bukan sahaja menolak tokoh, tetapi mana-mana parti yang mengadakan kolaborasi dengan parti yang mengenepikan orang Melayu Islam dan mahu melaksanakan ‘Malaysian Malaysia’,” katanya.

Jumaat lalu, Dr Mahathir Mohamad meminta semua parti politik Melayu termasuk Umno untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Pengerusi Bersatu itu menjelaskan, kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

Menurut Zahid, Umno bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berdepan dengan tindakan dibubarkan kerana keputusan untuk tidak menyertai Bersatu itu.

“Kita tidak akan menyertai Bersatu. Biarpun Umno terbubar atas tindakan kita ini tidak menyertai mereka, sama-samalah bersama dengan saya, ada kaedah lain untuk ahli Umno berada dalam parti.

“Kalau ini kali kedua Umno diharamkan, ahli Umno harus bangkit dan kita harus memperlihatkan kekuatan perpaduan Melayu,” katanya.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebelum ini memaklumkan bahawa ahli-ahli Umno akan diserap menjadi ahli Barisan Nasional sekiranya parti itu diharamkan oleh kerajaan susulan dakwaan menerima wang daripada 1MDB.

Mohamad berkata beliau akan membantu Zahid keluar daripada kemelut tersebut berdasarkan kajian-kajian kemungkinan senario yang akan berlaku, yang telah dibuat oleh parti sebelum ini.

“Kalau dibubar pun Umno, kita ada cara untuk kita keluar. Kita masuk rumah yang lebih besar dahulu. Kita rehat disitu dahulu sementara kita mendaftar parti baharu.

“Kalau tidak boleh daftar parti baharu, kita beli parti-parti yang ada. Ataupun kita guna parti yang sudah sinonim dengan kita, Barisan Nasional. Kita masuklah Barisan Nasional, apa masalah.

“Saya tidak sepatutnya cakap kerana ini strategi tetapi saya hendak yakinkan ahli-ahli Umno supaya jangan risau,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jerai, Jumaat lalu 
 
 

Tiada ulasan: