Ahad, 14 Julai 2019

Tindakan pantas bomba elak bahan kimia merebak di Muar


fazleen safina 

 

Tiga per empat daripada 220 liter sodium flourite bocor di kilang


MUAR – Tindakan pantas anggota Bomba dan Penyelamat berjaya mengelakkan bahan kimia Sodium Flourite yang bocor dari sebuah kilang elektronik, di kawasan perindustrian Tanjung Agas, di sini, daripada merebak ke kawasan sekitar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, kebocoran itu berlaku pada tiga daripada empat tong biru tua berisi 220 liter bahan kimia itu di kilang terbabit.

Katanya, sepasukan bomba dengan lapan anggota digegaskan ke tempat kejadian, sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 10.54 pagi.

Beliau berkata, kebocoran itu dipercayai membabitkan tidak sampai seliter bahan kimia itu yang mengalir, dan pihak bomba terpaksa melakukan kerja-kerja kawalan bagi mengelakkan bahan itu daripada terus merebak.

“Tindakan awal oleh pihak Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) premis berkenaan dengan menggunakan abu soda juga telah membantu menyerap bahan kimia berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui maklumat diterima daripada pihak premis, kebocoran itu dipercayai berlaku disebabkan kemungkinan ada bahan kimia lain yang bercampur.

Rafiah berkata, kerja-kerja pemindahan bahan kimia itu bermula jam 2.30 petang dan setakat pukul 3.30 petang, ia masih dijalankan bersama pihak swasta yang dilantik oleh pihak premis bagi tujuan pelupusan. -Bernama


Tiada ulasan: