Ahad, 14 Julai 2019

Sarawak sambut baik SPRM siasat ‘jerung’, asalkan tiada dakwaan terpilih

SPRM semalam mengesahkan sedang menyiasat kes melibatkan 
personaliti berprofil tinggi di Sarawak.
 
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat sebarang perbuatan salah laku dan rasuah di negeri itu, tetapi meminta agensi anti-rasuah itu tidak melakukan “pendakwaan terpilih”.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata menjadi tanggungjawab SPRM menyiasat mereka yang melakukan kesalahan.

“Asalkan tidak berlaku pendakwaan terpilih…jangan bila nak cari siapa yang nak didakwa, hanya melihat kepada parti lawan saja. Kalau parti lawan saja yang disiasat dan parti sendiri (kerajaan) tidak disiasat, itu tidak adil.

“Saya benar-benar ingin melihat siapa jua yang terlibat dalam rasuah diberkas dan kami sukacita kerana ini akan menjadikan pentadbiran dan negara kita lebih bersih,” katanya kepada Bernama selepas sidang media Festival Muzik Hutan Hujan Dunia ke-22 hari ini.

Semalam, SPRM mengesahkan ada kes melibatkan personaliti berprofil tinggi di Sarawak.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya enggan memberi butiran lanjut memandangkan siasatan sedang dijalankan.

Tiada ulasan: