Polis tahan individu disyaki terlibat bikin video seks kaitkan menteri
MALAYSIAKINI
Dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan
dengan seorang menteri telah dikenal pasti, kata Ketua Polis Negara
Abdul Hamid Bador.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut berkenaan
dalang itu, beliau berkata pihaknya telah mempunyai ‘bayangan’ dalang
yang terlibat kes itu, dan telah membuat beberapa tangkapan bagi
membantu siasatan kes berkenaan.
Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan bahawa ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam kes itu.
“Siasatan
kes ini tertumpu kepada dua siasatan, iaitu kami menyiasat mereka yang
terlibat dalam pembikinan video itu, dan mereka yang menyebarkan video
berkenaan.
“Dalam
kes ini, kami kesan terdapat wujud konspirasi dan pakatan pihak
tertentu dalam pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan
seorang menteri, untuk menjatuhkan seseorang,” katanya kepada pemberita
selepas menghadiri Rumah Terbuka Malam Semarak Kasih Perumahan Blok
Melati Polis Diraja Malaysia di Setiawangsa, di Kuala Lumpur malam tadi.
Abdul
Hamid berkata sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan
selesai, pihaknya akan melakukan tindakan menahan semua yang terlibat.
Beliau
berkata ketika ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada saksi
berkaitan, serta melakukan tangkapan ke atas mereka yang disyaki
menyebarkan video berkenaan.
“Mereka yang terlibat dalam
menyebarkan (menularkan) video seks sejenis berkenaan juga akan diambil
tindakan. Kita sedang mencari siapa yang salah guna laman sosial untuk
sebarkan video itu menerusi telefon-telefon bimbit yang dikesan,”
katanya.
Baru-baru
ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki,
tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas ketua Pemuda PKR (AMK)
Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada
lelaki dalam video itu.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata kertas
siasatan kes berkenaan perlu dikemas kini dan ditambah baik, dengan
pasukan Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman yang menyiasat kes berkenaan
terpaksa berulang alik ke Sandakan, Sabah dan ia makan masa yang lama.
Katanya
terdapat beberapa tindakan yang perlu diambil dan diteliti terlebih
dahulu, sebelum kertas siasatan melibatkan individu yang terlibat dalam
video seks itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Tindakan
yang perlu diambil itu pun atas arahan daripada pihak pendakwa raya,
sebab kita telah pun menghantar fail itu dua kali dan berbincang dengan
Jabatan Peguam Negara, dengan yang terakhir pada Khamis lepas.
“Pihak
Jabatan Peguam Negara memberikan arahan-arahan tertentu untuk
mendapatkan keterangan kes, maka kami dapatkan kenyataan daripada
individu terlibat, terpaksa ke Sandakan,” katanya.
Mengenai
ketulenan video itu, Abdul Hamid berkata video itu telah dihantar ke
makmal untuk pengecaman dan ia memakan masa untuk mendapat keputusan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan