Sabtu, 13 Julai 2019

Kedutaan Indonesia pantau rapi dakwaan kes rogol exco Perak

MALAYSIAKINI

   
Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur memantau rapi perkembangan dakwaan kes rogol melibatkan warga negaranya yang berkerja sebagai pembantu rumah kepada exco Perak, Paul Yong.

Pegawai polis Kedutaan Indonesia, Atase Chaidir Zahari memberitahu Malaysiakini, pengadu yang berusia 23 tahun itu kini ditempatkan di rumah perlindungan selepas berurusan dengan polis negeri Perak, tempat laporan polis pembantu rumah itu dibuat.

"Kami telah berkerjasama dengan polis Perak."

"Mereka hantar mangsa ke rumah perlindungan kedutaan di Kuala Lumpur," kata Chaidir ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan pakar psikologi juga disediakan untuk membantu pengadu yang ditempatkan di rumah perlindungan sekiranya menghadapi sebarang masalah emosi.

Terdahulu, agensi berita nasional Indonesia melaporkan sebuah pasukan daripada kedutaan telah berjumpa dengan pengadu dan Ketua Polis Perak, Razarudin Husain di Ipoh.

"Ketika perjumpaan, mangsa (pengadu) kelihatan berada dalam keadaan tahap fizikal yang baik, walaupun secara emosinya masih trauma," kata seorang wakil daripada Kementerian Luar Negara, Indonesia, Judha Nugraha yang bertanggungjawab terhadap keselamatan rakyat Indonesia di luar negara.

Yong (gambar) bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau merogol bekas pembantu rumah tersebut.
Adun Tronoh itu yang ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis, juga mengatakan bahawa 'terkejut dan berasa bingung' dengan tuduhan tersebut.

"Dengan ini saya dengan tegas menafikan dakwaan itu.

"Saya mengulangi bahawa saya tidak pernah merogol atau menyerangnya secara seksual," kata Yong dalam satu kenyataan.

Ditanya jika Kedutaan Indonesia membangkitkan kebimbangan berikutan pembebasan Yong, Chaidir berkata bahawa isu tersebut telah dibincangkan ketika perjumpaan dengan Razarudin dan pihak polis memberi menjamin bahawa kes ini akan disiasat rapi.

Razarudin sebelum ini berkata kenyataan telah direkodkan daripada pengadu berusia 23 tahun, Yong dan lain-lain, termasuk ahli keluarga exco.

Beliau menjelaskan kedua-dua pengadu dan suspek menjalani peperiksaan perubatan manakala polis juga menjalankan penyiasatan forensik di kediaman exco tersebut di Meru, Ipoh, yang didakwa sebagai lokasi insiden tersebut berlaku.

Polis telah mengklasifikasi kes ini di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol.

Tiada ulasan: