Prof Dr Redhuan Tee Abdllah
PAS perlu jadi badan dakwah di Sabah dan Sarawak bukan parti politik
APABILA PAS menerima baik UMNO sebagai rakan sesama saudara untuk bekerjasama, muncikari DAP kata, PAS bekerjasama dengan perompak.
Namun,
apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak ahli parti Melayu, terutama
UMNO, menyertai Bersatu, maka muncikari DAP diam seribu bahasa. Bila
bercerai, buat apapun semua salah. Mana akhlak Islam pergi?
Lebih
menjengkelkan, ada pemimpin PAN berkata, tawaran Tun M ada logiknya.
Seorang lagi berkata, Melayu tiada pilihan selain Bersatu, PKR dan
Amanah. Paling teruk, ada seorang lagi berkata, ahli PAS mesti menyertai
PAN. Sudahkah yang bercakap ini cermin diri? Siapa perlu masuk kepada
siapa? Parti siapa lebih besar, dominan dan berpengaruh?
Macam mana
label perompak dan berkawan dengan perompak selama ini? Hanya apabila
ketua kita berkata, maka semua berubah fikiran pakat-pakat bodek. Kuat
sungguh bodek boss. Ke manakah pergi prinsip selama ini?
Saya amat
bersetuju dengan pandangan negarawan ulung kita yang menurutnya,
kewujudan semakin banyak parti Melayu hanya akan menyebabkan potensi
mereka untuk menang pilihan raya semakin tipis. Kalau dahulu, cuma ada
satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu, tetapi kini tidak lagi.
Sudah berpecah enam. Sedangkan jumlah orang Melayu berada di sekitar
bawah 60 peratus. Perpecahan ini sudah tentu tidak menguntungkan Melayu.
Ternyata
pemikiran Tun Mahathir jauh ke hadapan, daripada dahulu hingga sekarang,
meskipun sudah berusia 94 tahun. Selamat hari lahir Tun.
Kepada
pemimpin PAN, sejak keluar daripada PAS, begitu marah dengan PAS, kenapa
bila pelawaan dibuat oleh Tun Mahathir, terus cakap tidak setuju
sahaja.
Selama ini
perkataan ‘perompak’ sudah disinonimkan oleh PAN dan PKR terhadap UMNO
(BN) dan percikannya PAS. PAS terkena tempias kerana ‘berkawan’ dengan
UMNO yang menjadi musuh selama ini. Sedangkan kita semua tahu, perompak
itu adalah orang, bukan parti. Parti UMNO tidak boleh merompak kerana
parti adalah wadah, bukan orang.
Label
perompak kepada pemimpin UMNO, turut terpalit kepada parti dan ahli. Apa
salah mereka? Jika pemimpin yang menjadi perompak, tujukan sahaja
kepada pemimpin. Parti dan ahli tidak bersalah.
Sebelum
ini pemimpin nombor satu PAN pernah berkata, beliau berasa sedih kerana
banyak markas PAS di sekitar Kedah kini digunakan bersama UMNO yang dulu
dilawan.
Beliau
ingat lagi bagaimana beliau dan kepimpinan parti itu dahulu berceramah
bagi memungut derma untuk membina markas itu supaya dijadikan pusat
tarbiah rakyat.
Katanya,
menelusuri jalan-jalan daripada Pendang, Sungai Tiang, Jeneri, Sik,
Parit Panjang dan Baling, masih tersergam markas-markas PAS yang dibina
sejak puluhan tahun lalu. Markas itu dibina atas sumbangan orang ramai.
Beliau
mengimbas kenangan lama itu setelah mengadakan lawatan kerja ke Kedah.
Beliau dibawa menziarahi Madrasah Misbahul Falah atau dikenali Pondok
Lanai, Baling, yang menurutnya lokasi perhimpunan ulama yang memutuskan
almarhum Ibrahim Libya yang mati ditembak di Kampung Memali sebagai
syahid.
Kepada
pemimpin PAN yang begitu cemburu dengan kerjasama UMNO-PAS, tidak perlu
risau soal semua markas PAS yang dibina seluruh Malaysia hasil sumbangan
orang ramai. Semua telah dikira sebagai amal jariah dan sedekah. Pahala
kepada mereka yang menyumbang amat mulia di sisi Allah. Masalahnya,
adalah kamu yang suka mengata dan mengumpat.
Apakah
dosa penyumbang markas akan berkurang apabila markas itu turut digunakan
oleh UMNO atas jemputan PAS untuk berceramah. Jawapannya, tidak. Pahala
mereka yang menyumbang tidak berkurang walau sedikitpun. Malah, mungkin
berganda lagi, kerana pentas atau markas itu digunakan untuk
menyedarkan orang ramai, bukan untuk kegunaan joget lambak dan program
maksiat seperti apa yang berlaku di beberapa kolej yang heboh
diperkatakan baru-baru ini.
Percayalah,
apabila UMNO berada di pentas dan markas PAS, secara automatik, UMNO
akan mengikut rentak PAS, sebab PAS adalah tuan rumah. Rentak PAS yang
saya maksudkan adalah, tidak ada program atau aktiviti maksiat yang
dijalan sebelum dan selepas majlis berakhir. Tidakkah UMNO dapat
percikan cahaya apabila berkawan dengan PAS?
Jika
dahulu ada pemimpin UMNO berselawat pun tak lepas bila memulakan ucapan,
tetapi kini sudah lancar. Malah, kadang kala ayat Quran yang dibawa
dalam ucapan lebih banyak daripada PAS.
Begitu
juga dengan apabila PAS menggunakan pentas UMNO atau ‘markas’ UMNO.
Sudah tentu UMNO akan menghormati PAS yang membawa ‘imej Islam’.
Kerjasama ini saya lihat banyak kebaikan kepada kedua belah pihak dan
juga proses tarbiyah yang sedang berjalan.
UMNO yang
dahulu berada lama dalam kerajaan sudah tentu akan ‘mengajar’ serba
sedikit urusan pentadbiran negara kepada PAS jika mendapat peluang
memerintah nanti. Pendek kata, UMNO-PAS saling lengkap melengkapi sesama
Islam. Kecualilah jika mereka tidak mahu belajar daripada sejarah dan
pengalaman pahit ketika bersama sebelum ini.
Kepada
pemimpin PAN terutamanya, janganlah gabra. Hari ini kamu mungkin jadi
menteri, akan datang belum tentu lagi. Cemburukah dengan gabungan mantap
ini?
Justeru,
tidak perlu sakit hati dengan kerjasama ini. Tidak perlulah lagi label
UMNO dengan perompak. Jika benar-benar ada rompakan berlaku, jangan
risau. Kita ada mahkamah dan undang-undang akan menghukum mereka. Saya
memang mahu mereka yang bersalah dihukum.
Saya ingin
berpesan kepada pemimpin PAN dan PKR ini, buat kerja masing-masing
secara profesional sementara ada kuasa ini. Pada masa sama, buatlah
persediaan. Manalah tahu, selepas ini menjadi pembangkang pulak. Ketika
itu, orang lain akan korek pulak apa yang kamu lakukan ketika
memerintah. Berlaku rompakan atau tidak?
Saya
harapkan UMNO-PAS terus buat kerja pada tahap terbaik untuk memenangi
PRU akan datang. Buatlah perancangan dan strategi. Kenyataan yang boleh
menyinggung dan mengguris hati hendaklah dikurangkan. Berikan fakta dan
hujah yang logik dan rasional yang menggembirakan semua rakyat, termasuk
Sabah dan Sarawak. Saya agak bimbang dengan penerimaan Sabah dan
Sarawak terhadap PAS.
Logiknya,
UMNO lebih mudah diterima di Sabah dan Sarawak berbanding PAS. PAS masih
dilihat sebagai parti Islam yang mahu menegakkan hukum Islam dan hudud
di Sabah dan Sarawak. Pada saya, biarlah UMNO melakukan kerja-kerja di
sana. Kerjasama UMNO-PAS hendaklah ‘disenyapkan’ dalam konteks Sabah dan
Sarawak. Paling penting berstrategi.
Perkara
ini sangat penting. Ingat! undi Melayu yang sedia ada tidak mampu
memenangkan UMNO-PAS tanpa undi Sabah dan Sarawak. Sama seperti
sekarang, tanpa Sabah dan Sarawak, tidak mungkin PH dengan mudah boleh
membentuk kerajaan.
Sebab
itulah saya ingin ingatkan pucuk pimpinan UMNO-PAS, apabila mengeluarkan
kenyataan mengenai sesuatu perkara berkaitan agama misalnya, janganlah
sampai penduduk Sabah dan Sarawak tersinggung. Begitu juga rakan bukan
Islam mereka seperti MCA dan MIC.
Perkara
berkaitan agama Islam hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah. Tidak
usah bising-bising. Lupakan soal hudud dan isu negara Islam. Buktikan
dahulu di Kelantan dan Terengganu. Untuk Malaysia secara keseluruhan,
banyakkan bercakap soal nilai-nilai Islam, kerana saya yakin ia ada
dalam semua agama. Islam sesuai untuk semua.
Pada hemat saya, selagi mana nilai-nilai Islam dan syariat untuk orang Islam dapat berjalan, itu sudah cukup bertuah.
Fikirkan
Sabah dan Sarawak – fokuskan perbincangan mengenai kebajikan dan
pembangunan. Pastikan Sabah dan Sarawak membangun bersama Semenanjung.
Ingat! Saiz Sarawak sahaja sebesar Semenanjung. Begitu juga dengan
Sabah.
Bukan
perkara mudah untuk membangunkan Sabah dan Sarawak. Satu kawasan
Parlimen di Sarawak, seperti Parlimen Hulu Rajang, sama luasnya dengan
negeri Pahang. Sedangkan di Pahang ada 14 kerusi Parlimen.
Bayangkan
sukarnya untuk membangunkan Sarawak. Tapi itu bukan suatu perkara yang
mustahil. Malaysia jika dilihat dalam peta dunia, amat kecil berbanding
dengan negara-negara lain. Usahlah banding dengan negara China.
Ringkasnya, jangan biarkan Sabah dan Sarawak ketinggalan.
Saya
begitu terkilan apabila ada isu dibangkitkan mengenai Bible yang
terdapat di hotel-hotel mewah yang dikatakan begitu ketara pada ketika
ini atau pada zaman PH memerintah. Sebenarnya isu Bible ini sudah ada
pada zaman BN. Suka.. baca, tak suka… tinggalkan, atau buang sahaja.
Tidak timbul isu. Kenapa kita tidak gunakan kesempatan untuk meletakkan
al-Quran. Ya, tidak dinafikan memang ada, tetapi tidak seagresif Bible.
Kenyataan
ini saya kira tidak berstrategi, walaupun dari segi hak menyampaikan itu
memang ada. Pada saya isu Bible dalam hotel ini isu kecil, tidak ramai
pun baca, termasuk orang Kristian sendiri yang duduk di hotel. Iman kita
tidak akan tergugat dengan membaca Bible.
Tidak
ramai pun faham, juga apabila dibaca oleh orang Islam. Saya bukan
menggalakkan, tetapi kenyataan ini mengguriskan hati Bumiputera Sabah
dan Sarawak. Contoh, Tun Mustapha Harun ketika memimpin Sabah, orang
Islam Sabah ketika itu hanya 30 peratus, tetapi dengan berkat usaha
gigihnya, kini umat Islam di Sabah melebihi 50 peratus dan agama Islam
berjaya diangkat menjadi agama rasmi Sabah.
Kita
melakukan perkara sama di Sarawak, tetapi umat Islam perlu kuat bekerja,
kurang bercakap dan retorik hudud dan negara Islam, kerana ini akan
menakutkan mereka. Banyakkan dakwah dan sebarkan nilai-nilai Islam,
meskipun sudah terlambat.
Seperti
saya katakan dahulu, di Sabah dan Sarawak, cukuplah PAS menjadi badan
dakwah, bukan parti politik. Serahkan tanggungjawab itu kepada UMNO dan
sekutunya.
Kesimpulannya,
PRU15, adalah pertarungan yang amat unik dalam politik Malaysia,
benar-benar menguji kekuatan PH vs BN bersama PAS serta penerimaan Sabah
dan Sarawak terhadap gabungan parti itu. Tidak mustahil BN (UMNO-PAS)
boleh memerintah jika dilakukan dengan penuh strategi dan penuh hikmah.
Jika BN
dan PAS menang, petanda buat PAN mungkin tidak lama. Bersatu tidak
mustahil kembali bersama UMNO. Tinggal dua parti lagi, iaitu ultra kiasu
Cina dan ultra kiasu Melayu. Jika orang Melayu Islam bersatu, saya
tidak yakin ultra kiasu boleh bangkit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan