Negara catat prestasi memberangsangkan basmi malaria
PUTRAJAYA– Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan berlaku
wabak malaria yang melanda komuniti orang asli di Pos Lenjang, Kuala
Lipis, Pahang.
Ketika mengesahkan laporan berita awal
hari ini bahawa lebih 10 orang asli dimasukkan ke hospital setelah
mereka disyaki menghidap Plasmodium vivax malaria, Dr Dzulkefly berkata,
wabak malaria itu yang menjejaskan 11 orang asli adalah dalam bentuk
ringan dan tidak mengancam nyawa.
Semua mereka ketika ini dirawat di
Hospital Kuala Lipis, katanya ketika ditemui pemberita selepas
merasmikan Mesyuarat Saintifik ke-33 Persatuan Farmakologi dan Fisiologi
Malaysia 2019 di sini hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, orang asli yang
dijangkiti penyakit itu dijumpai semasa pengesanan kes aktif oleh
Kementerian Kesihatan terhadap 300 orang asli di penempatan itu pada 12
Julai.
Pada 11 Julai, beliau berkata seorang
daripada orang asli yang datang untuk mendapatkan rawatan di sebuah
klinik desa di Kuala Lipis didapati positif malaria.
Berikutan itu, Kementerian Kesihatan
mengadakan pengesanan kes aktif dan 10 lagi orang asli didapati positif
menghidap malaria daripada jenis yang sama.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan
Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman yang turut hadir
dalam sidang akhbar itu berkata, terdapat lima jenis malaria dan vivax
malaria adalah jenis malaria biasa yang terdapat di Malaysia.
“Lazimnya pesakit akan sembuh dengan sangat cepat selepas tiga hari diberi drug antimalaria,” katanya.
Dr Adeeba berkata, secara umumnya vivax malaria tidak menimbulkan kebimbangan dari segi kesihatan.
“Malaysia mempunyai bekalan ubat dan drug antimalaria yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia sedang dalam proses untuk membasmi vivax malaria.
“Oleh itu, adalah malang apabila masih
berlaku wabak di beberapa tempat di negara ini. Bagaimanapun secara
keseluruhan, negara mencatat prestasi memberangsangkan dari segi
pembasmian malaria,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan