Selasa, 9 Julai 2019

Hari ke-34: Saksi tak dimaklumkan keputusan KWAP tak beri pinjaman terus pada SRC


   

LANGSUNG | Perbicaran terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan salahguna dana SRC International sebanyak RM42 juta memasuki hari ke-34 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung:


Tak tahu keputusan Panel Pelaburan KWAP dan pilihan MOF

9.30 pagi: Bekas pegawai Kementerian Kewangan Maliami Hamad berkata dia tidak pernah dimaklumkan oleh pegawai atasannya bahawa Panel Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah memutuskan pada tahun 2011 untuk tidak memberi pinjaman secara terus kepada SRC International, sebaliknya kepada 1MDB atau kerajaan.

Ini berlaku walaupun pegawai atasannya - Ketua Setiausaha Perbendaharaan Wan Abd Aziz Wan Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Nurzirah Bahari - tahu mengenai keputusan itu ketika duduk dalam mesyuarat Panel Pelaburan tersebut yang membuat keputusan itu pada 19 Julai 2011.
Maliami yang pada masa itu merupakan setiausaha di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Read.

Maliami berkata dia tidak pernah tahu bahawa panel pelaburan KWAP membuat keputusan itu termasuk dalam pertemuan pertamanya dengan wakil SRC International pada 12 Ogos 2011 di mana mereka membincangkan mengenai permohonan syarikat itu untuk jaminan kerajaan ke atas bahagian pertama pinjaman berjumlah RM2 bilion.

Maliami berkata dia juga tidak tahu bahawa kementerian telah memutuskan untuk memilih pilihan kedua - yang mana KWAP memberi pinjaman RM2 bilion kepada kerajaan yang seterusnya akan memberi pinjaman kepada 1MDB.

Untuk makluman, pada masa permohonan pinjaman pertama oleh SRC International pada tahun 2011, syarikat itu masih merupakan anak syarikat 1MDB.

Farhan: Jadi Datuk menyatakan bahawa MGS (Malaysia Government Security) ni bawah seliaan Datuk? Dalam minit ini nyatakan apa berlaku adalah KWAP beri dua option (pilihan), dan option MGS dipilih oleh MOF (Kementerian Kewangan).
Maliami: Saya tidak punyai pengetahuan apa dibincangkan dalam panel pelaburan.
Farhan: Datuk setuju, dalam pertimbangan kedua-dua option ini, MOF akan buat kajian terhadap option yang diberikan, dan pilih option terbaik untuk kerajaan.
Maliami: Saya tidak pasti.
Farhan: Tapi dinyatakan di sini MOF pilih option B untuk MGS?
Maliami: Saya tak mengetahui cadangan ini.
Farhan: Tapi jika perkara ini benar, bahagian manakah bertanggungjawab untuk lihat option ini?
Maliami: BPKA (Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian).
Farhan: Tapi Datuk tak terlibat?
Maliami: Saya tak tahu cadangan ini. Dan saya terlibat dalam MGS.
Farhan: Nampaknya dalam perkara-perkara dinyatakan ini bawah pengetahuan TSKP dan Nurzirah?
Maliami: Betul.
Farhan: Mereka tak bincangkan dengan Datuk perkara ini sebelum mesyuarat?
Maliami: Tidak.

9.10 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh.

9.05 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam sambil menunggu perbicaraan bermula.

Turut kelihatan di mahkamah ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan anggota pasukan pendakwaan serta barisan peguam Najib.

Peguam Najib Farhan Read dilihat bersedia untuk pemeriksaan balas terhadap saksi ke-43, bekas setiausaha di bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan, Maliami Hamad.


Pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan dijangka membantu mendedahkan lebih terpeinci apa yang dimaksudkan oleh saksi ke-43, Maliami Hamad bahawa SRC International mendapat perhatian istimewa daripada Najib dalam permohonan syarikat itu untuk mendapatkan jaminan kerajaan bagi mendapatkan pinjaman RM2 bilion.

Pasukan pembelaan dijangka menyoal bekas setiausaha di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan itu berhubung keterangan beliau bahawa perhatian khas ini merujuk kepada jaminan untuk mendapatkan pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada bulan Ogos 2011.

Semalam semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, Maliami memberi keterangan bahawa dia diberitahu untuk mempercepatkan permohonan jaminan kerajaan bagi SRC International oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Wan Abd Aziz Wan Abdullah kerana permohonan itu mendapat perhatian khas Najib.

Pihak pembelaan hari ini mungkin menyoal keterangan Maliami semalam bahawa SRC International hanya memberikan justifikasi satu perenggan dalam permohonannya untuk mendapatkan jaminan kerajaan pada sekitar tahun 2011.

Satu lagi yang mungkin diperiksa balas ialah keterangan bahawa Wan Abd Aziz dikatakan enggan menandatangani surat meminta KWAP membayar bahagian pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion kepada SRC sebelum jaminan kerajaan dikeluarkan pada awal 2012.

Dia dikatakan sebaliknya mengarahkan Maliami untuk meletakkan tandatangan di atas surat yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Azian Mohd Noh.

Tiada ulasan: