Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Johor Norul Haszarul Abu Samah menyatakan sokongan terhadap keputusan kerajaan negeri itu dalam mengekalkan had umur maksimum belia kepada 40 tahun.
Menurut Haszarul, rakyat Johor mempunyai citra tersendiri dalam menentukan hala tuju dan tidak perlu mengikut budaya dan kaedah pihak lain.
"Ini adalah satu peringatan buat mana-mana kementerian agar tidak terburu-buru dalam membuat keputusan dan hendaklah sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka, mendengar pandangan dan cadangan semua pemegang taruh terutama anak muda di peringkat akar umbi.
"Pihak yang terbabit seharusnya menyedari kesilapan beliau apatah lagi 7 buah negeri setakat ini telah menolak usul berkaitan had usia belia," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Setelah membuat pusingan U beberapa kali berhubung isu itu, kerajaan Johor akhirnya mengambil pendirian menolak cadangan itu dan mahu mengekalkan umur 40 tahun sebagai had usia belia.
Selain Johor, negeri lain yang turut mengekalkan 40 tahun sebagai had usia belia ialah Sarawak, Selangor, Perlis, Pahang, Kelantan dan Kedah.
Haszarul dalam kenyataannya turut mengingatkan agar menteri yang dimaksudkannya tidak "mencampuri urusan negeri Johor".
"Tambahan pula, penolakan had umur belia bukan satu sentimen politik tetapi bersesuaian dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 sepertimana kenyataan Menteri Besar Johor.
"Tumpukan perhatian anda pada kementerian yang anda terajui serta serahkan urusan negeri Johor kepada pihak-pihak yang lebih arif akan hal ehwal negeri ini.
"Ingatlah, bahawa Johor akan selamanya menjadi Johor," katanya.
Dalam kenyataan sama, tanpa menyebutkan nama tertentu berkata, Haszarul mengingatkan "menteri berkenaan" berhenti meminta bantuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sekiranya gagal menjalankan tugas.
"Saya juga menyeru kepada menteri berkenaan menghentikan sikap mengadu domba atau 'merengek’ meminta bantuan perdana menteri dan presiden parti setiap kali gagal dengan tugasannya.
"Individu - individu tersebut pastinya mempunyai keutamaan lain yang lebih besar terhadap negara berbanding melayani agenda peribadi anda," katanya.
Pada 11 Julai lalu, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji sama ada wujud campur tangan dari istana Johor berhubung isu had umur belia yang menyaksikan kerajaan negeri membuat dua pusingan U beberapa hari lalu.
Menurut Dr Mahathir Mohamad kerajaan akan melihat sama ada alasan yang diberikan di sebalik keputusan tersebut boleh diterima atau sebaliknya.
Sementara Muhyiddin, sehari sebelum itu, berkata kerajaan berharap pihak istana tidak campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Johor.
Muhyiddin juga meminta kerajaan negeri Johor mempertimbangkan semula keputusan untuk mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun, bagi penyeragaman nasional antara persekutuan dan negeri.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Armada Johor Mohd Hafiz Abdullah, dalam kenyataan susulan yang dikeluarkan di Facebooknya malam ini menegaskan bahawa kenyataan Haszarul adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili suara Armada Johor secara keseluruhan.
"Bagaimana pun, sebagai rakyat negeri Johor, kami tetap senada dengan beliau untuk berlapang dada menyokong penuh apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Johor.
"Kami berharap lebih perbincangan dapat dijalankan oleh kedua pihak kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan agar satu kata sepakat dapat dicapai dalam agenda memperkasa belia Malaysia," katanya.
LIHAT FB DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan