Sabtu, 20 Julai 2019

'Jangan sembunyi, datanglah jumpa keluarga'

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
 
 

“KELUARGA tidak menyalahkan pemandu lori kerana kemalangan bukan disengajakan, namun pemandu atau syarikat lori perlu tampil bertemu kami.

“Hormatilah kami sebagai keluarga mangsa dan terangkan apa yang sebenarnya berlaku,” kata Mohd Herda Ismail, 36, adik kepada pemandu van, Hawazi, 47, yang maut selepas terkena tayar treler yang tercabut di Kilometer 156.1 Lebuhraya PLUS arah utara, berhampiran Jawi, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di dada, kaki serta tangan dan ketika kejadian, lelaki terbabit sedang menukar tayar van dipandunya yang pancit di lorong kecemasan.

Keluarga mangsa meminta wakil syarikat atau pihak berkaitan dalam kemalangan tampil berjumpa ahli keluarga bagi menerangkan keadaan berlaku.

“Kami minta pihak syarikat atau pemandu lori tampil bertemu keluarga khususnya isteri dan anak arwah bagi menerangkan kejadian sebenar.

“Biarpun kemalangan ini bukan disengajakan tetapi kami berharap pihak syarikat dapat bertanggungjawab terhadap keluarga mangsa berikutan arwah mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak termasuk dua yang masih bersekolah,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Herda berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu kira-kira 8 pagi ketika dihubungi seorang adik.

“Kami tinggal di Bagan Tiang dan pagi tadi baru tiba di Johor untuk menguruskan hal rumah.
“Namun sejurus menerima berita mengenai kejadian itu, kami berpatah balik bagi menguruskan jenazah arwah,” katanya.

Menurutnya, Hawazi adalah anak kelima daripada 10 beradik dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Kota selepas urusan bedah siasat di Hospital Sungai Bakap Pulau Pinang selesai.

Berita berkaitan
Maut dihentam ‘tayar terbang’

Tiada ulasan: