Sabtu, 20 Julai 2019

Tinjauan: Ramai pengundi muda tak gembira dengan PH

MALAYSIAKINI

   
Pada dekad-dekad yang lalu, pengundi muda dikatakan merupakan tunjang kebangkitan Pakatan Harapan (PH) sehingga gabungan itu berjaya menyingkirkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum lalu.

Oleh itu tidak mengejutkan apabila PH mengotakan janji untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun sebagaimana yang terkandung dalam manifesto mereka.

Sama ada pengundi muda akan kekal menyokong PH pada PRU akan datang masih tidak dapat dipastikan, namun tinjauan pendapat yang dilakukan Merdeka Center menunjukkan trend itu kini berubah.

Menurut Merdeka Centre, sokongan terhadap gabungan itu berada pada kedudukan 41 peratus dalam dua bulan terakhir, yang mana lebih baik sedikit berbanding 39 peratus pengundi yang berasa tidak berpuas hati kepada PH.

Bagaimanapun, tinjauan itu mendedahkan ramai pengundi muda kini tidak  gembira dengan PH, berbanding pengundi yang lebih tua.

Menurut keputusan tinjauan yang dilihat Malaysiakini, lebih ramai pengundi dalam kumpulan umur 21-30 tahun, 31-40 tahun dan 41-50 tahun tidak gembira dengan PH.

Keadaan itu berbeza dengan pengundi dalam kumpulan usia 51-60 tahun dan 60 tahun ke atas yang berpuas hati dengan gabungan itu.

Dalam kumpulan pengundi berumur antara 21-30 tahun, sebanyak 42 peratus tidak gembira manakala 38 peratus menyatakan rasa puas hati.

Dalam kumpulan usia 31-40 tahun pula, sebanyak 43 peratus tidak berpuas hati manakala 38 peratus menyatakan sebaliknya.

Ketidaksamaan ini menyusut dalam kumpulan usia 41-50  tahun di mana 39 peratus tidak gembira berbanding 36 peratus yang menyatakan rasa puah hati mereka.

Manakala dalam kumpulan pengundi berusia 51-60 tahun pula, sebanyak 50 peratus menyatakan rasa puas hati berbanding 34 peratus yang tidak gembira dengan gabungan itu.

Bagi kumpulan berumur 60 dan ke atas, 52 peratus menyatakan gembira terhadap PH berbanding 28 peratus yang tidak berpuas hati.

Sebanyak 961 responden mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut berusia 21 tahun ke atas yang layak pengundi di semenanjung Malaysia dari 28 Jun hingga 1 Julai.

Tiada ulasan: