Sabtu, 20 Julai 2019

Isu Pasir Gudang berulang cukup beri kerajaan markah gagal

siti hafidah 

 

PAS syor tubuh suruhanjaya siasatan bebas tangani pencemaran

BANGI– PAS menyarankan kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menjalankan forensik ke atas kedudukan semua pembangunan, terutama operasi kilang kimia di Pasir Gudang, Johor.

Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pencemaran udara akibat bahan yang berulang buat kali ketiga di daerah berkenaan menuntut tindakan bersepadu, tegas dan segera daripada kerajaan Pusat serta negeri untuk menanganinya.

Beliau berkata, pembabitan kepakaran luar juga diperlukan dalam rangka kerjasama bagi menamatkan tragedi yang berlaku di Pasir Gudang ketika ini.

“Pada ketika ini, kerajaan mesti mengeluarkan serta-merta perintah menghentikan operasi sementara kepada semua kilang terbabit sehingga langkah keselamatan lebih terjamin disiapkan.

“Kelemahan bertindak hanya menimbulkan rasa curiga dan syak bahawa pihak berkepentingan sedang dilindungi. Malangnya, penduduk menjadi mangsa hingga terdedah kepada ancaman nyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, 39 murid dan pelajar daripada lima sekolah di sekitar Pasir Gudang mengalami simptom muntah dan sesak nafas, beberapa minggu selepas kerajaan memberi jaminan kualiti udara di daerah berkenaan selamat.

Kes terbaharu itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort (30 murid), SK Kopok (6 murid), SK Kota Masa (1 murid), SK Pasir Gudang 4 (1 murid) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort (1 pelajar).

Kesal dengan insiden berulang, Ir Khairil berkata, aspek pengurusan risiko, penguatkuasaan kebertanggungjawaban dan solusi dilihat menjadi janji yang dimungkiri pihak kerajaan.

“Malah, seluruh malapetaka berulang di peringkat ini cukup untuk kerajaan diberi markah gagal. Melihat tamak halobanya kapitalis yang bersekongkol orang politik dalam meraih keuntungan sebagaimana berlaku di semua celahan dunia, kami sangat tertanya-tanya.

“Apakah semua polemik ini sengaja dibiarkan sebagai ganti peperangan untuk membunuh dan mengusir penduduk?,” soalnya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Yeo Bee Yin selaku Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Rabu lalu untuk mengadakan pertemuan bagi mengemukakan cadangan penyelesaian.

“Ini membuktikan kesediaan kami bekerjasama dengan pihak Menteri bagi memastikan mangsa gelojoh kapitalis ini dapat dibela.

“Sehubungan itu kami juga menyokong penuh tindakan mangsa, penduduk dan banyak NGO membuat laporan polis ke atas pihak-pihak berkaitan agar dalangnya dapat diadili. Pengajaran atau hukuman berat mestilah dilaksanakan jika motif kami sebutkan itu wujud di sebalik semua masalah ini,” katanya.


Tiada ulasan: