Jumaat, 5 Julai 2019

Dr Shahrom tak setuju tiada lebam di belakang badan Adib

siti hafidah 

 

Pakar fizik akan dipanggil bantu mahkamah dalam prosiding inkues

SHAH ALAM– Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid hari ini memberitahu Mahkamah Koroner, beliau tidak bersetuju dengan laporan Hospital Kuala Lumpur (HKL), bahawa tiada kesan lebam di bahagian belakang badan Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dr Shahrom yang juga saksi ke-29 itu berkata, lebam itu tidak ditemui, berikutan bedah siasat ke atas Muhammad Adib yang juga anggota bomba bagi mengetahui punca kematiannya, tidak dilakukan secara menyeluruh.

“Bedah siasatan bukan sekadar potong-potong sahaja tetapi ia adalah pemeriksaan secara menyeluruh bagi mengetahui punca kematian seseorang. Mereka (HKL) mengatakan melakukan bedah siasatan, tetapi sebenarnya tidak.

“Mereka tidak melakukan pemeriksaan antaranya di bawah bahagian lapisan kulit yang mana sekiranya dilakukan akan menemukan kesan lebam. Ini apa mereka katakan tidak ada, bagaimana hendak ada, kalau tidak diperiksa,” katanya di hadapan Koroner Rofiah Mohamad pada hari ke-39 prosiding inkues kematian Muhammad Adib di sini, hari ini.

Dr Shahrom berkata, siasatan kejadian insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas yang menyebabkan kecederaan parah pada Muhammad Adib, seharusnya dilakukan lebih awal, oleh pegawai penyiasat dan pihak forensik.

Beliau berkata, siasatan itu juga harus dimulakan di tempat kejadian selepas Muhammad Adib diserang, untuk mengetahui pihak yang bertanggungjawab melakukannya.

“Tiada video penuh kejadian. Oleh demikian, pencarian perlu bermula daripada berlakunya kejadian bukannya daripada bedah siasat.

“Malah, dalam forensik terdapat dua (bahagian) iaitu klinikal forensik (ketika hidup) dan patologi forensik (meninggal dunia). Sekiranya sudah meninggal dunia, kedua-dua pemeriksaan perlu bergabung untuk mencari punca kematiannya,” katanya.

Dalam keterangan hari ini, Dr Shahrom yang juga bekas Pakar Perunding Kanan dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, menyifatkan semua bukti yang dikemukakan kepada mahkamah untuk prosiding inkues kematian Muhammad Adib itu adalah mencukupi, tetapi bukan untuk mengaitkan dengan kes jenayah.

“Saya kata benda ini (bukti) cukup jika menggabungkan laporan dikeluarkan Jabatan Forensik HKL bersama eksperimen yang dilakukannya, sekiranya mahu membawa untuk buktikan kes jenayah, ia tidak cukup,” katanya.

Dalam pada itu, Rofiah memaklumkan pihaknya akan menentukan seorang pakar fizik untuk membantu mahkamah dalam prosiding inkues itu.

Rofiah berkata, pihak berkepentingan telah menyerahkan dua nama pakar fizik dan pihaknya sedang meneliti latar belakang individu terbabit, sebelum memanggil seorang daripada mereka ke mahkamah.

“Saya mohon supaya pakar fizik yang akan dipilih nanti diterangkan berhubung formula dikemukakan saksi ke-24, Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan saksi pakar fizik ke-29, Dr Shahrom (dalam mengenal pasti punca kecederaan dan kematian Muhammad Adib),” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak itu sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Disember, ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara. – Bernama


Tiada ulasan: