ISMA WEB
Pensyarah UKM kata arahan susulan campur tangan Kadir Jasin
BANGI
– Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Abdul Muein Abadi, hari ini mengesahkan beliau diarah supaya tidak lagi
menulis mengenai sebarang isu politik yang sensitif.
“Saya akur
sepenuhnya dengan arahan ini, meski pun sedih dan terkilan kerana tidak
lagi berpeluang untuk menyumbang sudut pandangan kritis kepada
pentadbiran negara selepas 10 tahun berkhidmat dengan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui betapa barisan pentadbir UKM hari ini telah
memberi kebebasan akademik kepada kami para pensyarah – sebelum adanya
campur tangan seorang Penasihat Perdana Menteri tempoh hari,” katanya
dalam satu kenyataan dalam Facebooknya.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Susulan
ugutan dan fitnah politik tempoh hari, saya sekeluarga amat terhutang
budi kepada semua pihak yang mendoakan keselamatan kami. Begitu ramai
para Ulama, Profesor, ahli keluarga, dan rakan-rakan yang tidak
putus-putus memberi sokongan kepada kami.
Namun
begitu saya secara rasminya telah diarahkan untuk tidak lagi menulis
tentang sebarang isu politik yang sensitif. Saya akur sepenuhnya dengan
arahan ini, meski pun sedih dan terkilan kerana tidak lagi berpeluang
untuk menyumbang sudut pandangan kritis kepada pentadbiran negara
selepas 10 tahun berkhidmat dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui betapa barisan pentadbir UKM hari
ini telah memberi kebebasan akademik kepada kami para pensyarah –
sebelum adanya campur tangan seorang Penasihat Perdana Menteri tempoh
hari.
Wajib
juga bagi saya mengambil kesempatan ini untuk membersihkan nama beberapa
individu yang telah dilempar tuduhan yang tidak sepatutnya oleh
Penasihat Perdana Menteri ini. Sungguh tidak disangka sama sekali
Penasihat Perdana Menteri yang gagal menjawab kesemua fakta yang saya
hujahkan tempoh hari telah bertindak menuduh pihak-pihak yang tidak
berkaitan sama sekali. Dalam tuduhan di bawah, nama Naib Canselor UKM,
Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abdul Shukor dan juga Pengerusi Lembaga
Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar telah dituduh sebagai “duri dalam
daging” kerajaan iaitu “the deep state”.
Saya
ingin membersihkan nama baik Naib Canselor UKM dan juga Pengerusi
Lembaga Pengarah UKM daripada tuduhan Penasihat Perdana Menteri ini.
Demi Allah, kami tidak pernah bertemu, bermesyuarat, apatah lagi
terlibat dengan sebarang konspirasi seperti mana tuduhan liar Penasihat
Perdana Menteri ini.
Saya
telah berkhidmat dengan UKM lebih 10 tahun, sejak zaman pembantu
penyelidik, Tutor, hinggalah kini menjadi Pensyarah. Tidak pernah ada
pihak yang kalah berhujah fakta dengan saya bertindak menuduh yang
bukan-bukan kepada Naib Canselor dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM
sebegini rupa. Untuk ini, saya mohon sepenuh kemaafan kepada Naib
Canselor dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM kerana telah dilibatkan
dalam hal ini.
Berkenaan
penulisan saya tempoh hari pula, saya menulis sepenuhnya berdasarkan
laporan rasmi dan berkredibiliti, yang telah pun saya buktikan
satu-persatu, bukannya dari sumber fitnah atau pun rekaan seperti
tuduhan Penasihat Perdana Menteri ini. Tiada konspirasi ‘deep state’
sama sekali.
Ketahuilah
bahawa tugas Pensyarah Sains Politik adalah sama dengan tugas doktor
kesihatan: keutamaan tugas doktor bukan untuk maklumkan mana anggota
tubuh pesakit yang sihat dan normal, sebaliknya untuk memberi amaran
apakah penyakit dan masalah yang dihadapi seseorang pesakit.
Begitulah
keutamaan tugas Pensyarah Sains Politik: untuk maklumkan apa risiko dan
masalah yang bakal dihadapi oleh kerajaan – contohnya perangkap
geopolitik jika bertindak menjual aset negara dengan terlalu banyak
dalam masa yang terlalu cepat, perangkap kuasa lunak (soft power) dan
kuasa penembusan asing (sharp power), hutang yang melambung dari RM686
bilion kepada RM800.8 bilion dalam masa lebih 400 hari sahaja, pemberi
posisi strategik kepada warga asing dari kuasa besar, dan sebagainya.
Seperti mana bukan tugas doktor untuk memberi ‘gula-gula’ kepada
pesakit, bukan tugas Pensyarah Sains Politik untuk mengampu kerajaan.
Bukan salah Pensyarah Sains Politik jika kami memberi ‘ubat’ (nasihat)
yang ‘pahit’ kepada kerajaan. Segalanya saya lakukan demi melihat negara
kita menjadi negara yang kuat dan bermaruah.
Saya
berdoa semoga satu hari nanti Allah izinkan saya untuk kembali
menyumbang secara kritis kepada pentadbiran negara. Buat waktu ini,
Mohon doakan semoga pengajian PhD saya di Leiden University, Belanda ini
dipermudahkan – tanpa mana-mana ugutan dan campur tangan politik lagi.
Sekali lagi, hanya Allah sahaja yang boleh membalas jasa anda semua
mendoakan kami sekeluarga.
Ya Allah, peliharalah UKM, lindungilah aku sekeluarga.
Abdul Muein Abadi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan