Pihak asing berpengaruh dilantik ke posisi strategik ekonomi negara
1. GENAP 400 hari
Pakatan berkuasa, sekurang-kurangnya lebih RM20 bilion aset negara telah
dijual. Secara purata, setiap hari sebanyak RM51 juta aset negara
dijual, bersamaan dengan RM2.1 juta aset negara terjual setiap jam di
bawah Pakatan.
2. Kesemua aset ini termasuklah
sebahagian pegangan dalam IHH Berhad (RM8.42 bilion), Sapura Upstream
(RM3.7 bilion), Acibadem Sigort (RM1.25 bilion), Telco M1 (RM1.65
bilion), saham TNB (RM1.05 bilion), Boustead Plantation (RM1.2 bilion),
Axiata Digital (RM0.579 bilion), BDO Unibank (RM0.415 bilion), CIMB
(RM0.364 bilion), Hotel Royale Chulan (RM0.197 bilion), dan juga
bangunan Konsulat di Hong Kong yang telah pun mempunyai pembeli dari
China (RM1.6 bilion).
3. Tidak cukup dengan kadar ini, terbaru
portal perniagaan terkemuka The Edge Markets melaporkan bahawa Pakatan
kini merancang untuk terus menjual aset-aset Khazanah iaitu UEM Sunrise,
UEM Edgenta, UEM Builders, Cement Industries of Malaysia (CIMA), Projek
Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), dan juga pegangan dalam Malaysia
Airport Holdings Berhad (MAHB) serta Malaysia Airlines Berhad (MAB atau
lebih dikenali sebagai MAS)
(https://www.theedgemarkets.com/article/khazanah-asset-sales-set-pick).
4. Malah, perkembangan ini selari dengan
kenyataan Tun Mahathir susulan pertemuan beliau dengan pelabur dari
British dalam satu dialog perniagaan anjuran Lembaga Pembangunan
Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar
Malaysia (MATRADE), dengan kerjasama Majlis Perniagaan United
Kingdom-Asean (UKABC) dan Maybank baru-baru ini
(http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-akan-jual-aset-demi-kurangkan-hutang-negara-tun-mahathir-210316).
5. Secara terbuka Tun Mahathir mengakui
bahawa “Saya berminat untuk menjual beberapa aset sebagai usaha untuk
meraih pendapatan…Kita ada banyak aset…kita ada tanah, syarikat milik
kerajaan, fasiliti, institusi yang dimiliki kerajaan…dan ada di antara
aset-aset ini yang sedang kita pertimbangkan”.
6. Paling menimbulkan persoalan tentulah
penjualan IHH Berhad kepada Jepun pada bulan November 2018 dengan harga
RM8.42 bilion, sedangkan keuntungan IHH Berhad naik lima kali ganda
untuk suku ke-4 2018 berbanding tahun sebelumnya.
(https://www.theedgemarkets.com/article/khazanah-asset-sales-set-pick).
7. Begitu juga apabila Menteri Kewangan
Lim Guan Eng cuba mendakwa bahawa kadar “pelaburan” asing telah
meningkat, sedangkan ia sebenarnya berpunca daripada penjualan aset
negara seperti antaranya penjualan bernilai RM3.7 bilion (50%
kepentingan dalam) syarikat Sapura Upstream Sdn Bhd yang dimilik 40%
oleh PNB kepada syarikat OMV dari Austria
(https://www.omv.com/en/news/190201_omv_and_sapura_energy_close_agreement).
8. Untuk rekod, pada Ogos 2018, Khazanah
di bawah Pakatan telah menjual syarikat insurans Turki, Acibadem Sigort
dengan harga RM1.25 bilion kepada syarikat UK, iaitu Bupa
(https://www.dealstreetasia.com/stories/khazanah-turkish-insurer-bupa-105118/).
9. Seluruh pegangan Khazanah melalui
Axiata di dalam Syarikat telco M1 juga telah dijual kepada Singapura
dengan harga RM1.65 bilion
(https://www.reuters.com/article/axiata-group-m1-divestiture/update-2-malaysias-axiata-accepts-offer-for-singapore-mobile-operator-m1-idUSL3N20A3G0).
10. Pada April 2019 Khazanah di bawah Pakatan menjual saham TNB sebanyak RM1.05 bilion.
11. April 2019 juga, Axiata di bawah
Pakatan telah menjual perniagaan digital mereka (Axiata Digital) kepada
Singapura dengan harga RM579 juta.
12. Lebih setengah dari pegangan Khazanah
dalam bank Filipina terbesar BDO Unibank Inc telah dijual kepada
Filipina dengan harga RM415 juta, yang juga di bawah harga pasaran
(http://www.bhplus.com.my/bisnes/korporat/2019/02/531221/khazanah-jual-saham-bank-filipina-rm415-juta).
13. DRB-Hicom turut menjual kepentingan
11% dalam Modenas kepada syarikat Jepun, Kawasaki yang kemudiannya
membeli saham keutamaan boleh tukar (CPS) Modenas, menjadikan
penguasaannya meningkat kepada 48%.
14. Menara FELCRA yang dilancarkan oleh
bekas Perdana Menteri Najib Razak turut akan dijual oleh PH, dengan
Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM1 bilion
(http://www.utusan.com.my/berita/nasional/menara-felcra-dijual-cairkan-kewangan-1.771251).
15. Pada bulan Disember 2018, Khazanah
mula menjual CIMB Bank dengan penjualan 63 juta saham CIMB kepada
pembeli-pembeli yang tidak dinamakan pada harga RM364 juta atau harga
RM5.78 satu saham. Sebelum PRU14, harga saham CIMB adalah pada harga
RM7.30. Sudahlah harga saham merudum, hasil jualan pula kurang RM86
juta.
16. Hotel Royale Chulan Bukit Bintang
milik syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings
juga dilaporkan telah dijual kepada syarikat Singapura dengan harga
RM197 juta
(http://www.astroawani.com/berita-bisnes/boustead-jual-hotel-royale-chulan-bukit-bintang-pada-rm197-juta-201284).
17. Boustead Plantations mengumumkan
bahawa mereka akan jual tanah miliknya yang berharga RM1.2 bilion pada
April 2019
(https://themalaysianreserve.com/2019/04/25/boustead-plantations-plans-to-sell-land-worth-rm1-2b/).
18. Selain kesemua penjualan ini,
Khazanah juga telah meluluskan penggabungan Axiata (Celcom) dengan
Telenor (DIGI) sedangkan dahulu Pakatan akan menuduh langkah sebegini
sebagai jual aset negara seperti Proton-Geely.
19. Disebalik kesemua penjualan aset dan
kepentingan Khazanah Nasional, ia masih bertindak menjual bon sebanyak
RM2 bilion pada Mei 2019.
20. FGV dan Tabung Haji bawah Pakatan
juga cuba menjual aset ladang sawit bernilai RM4.13 bilion di
Kalimantan, Indonesia.
(https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/04/556443/fgv-tabung-haji-pertimbang-jual-aset-perladangan-di-indonesia).
21. Sebuah bangunan Konsulat Malaysia di
Hong Kong 28 tingkat telah diputuskan oleh kerajaan BN dahulu untuk
dijual kepada syarikat Malaysia pada harga RM1.1 bilion, sebaliknya
kerajaan Pakatan cuba menjualnya kepada syarikat China Kumpulan
Evergrande China dengan harga RM1.6 bilion
(https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/545642/penjualan-aset-di-hong-kong-dibuat-zaman-bn).
22. Dua projek kerjasama Khazanah dengan
Temasek (Singapura) iaitu Marina One dan Duo turut menjadi perhatian
seperti mana laporan The Edge Markets berikut: “Another jewel is
Khaznah’s 60% interest in the M+S joint venture with Singapore’s Temasek
Holdings. The JV developed two projects — Marina One in Marina Bay and
Duo in Bugis — that were the result of a 2010 land swap deal between the
two governments. According to an M+S statement in January, the two
projects had a gross development value of S$11 billion or RM33 billion.
The land cost and shareholders injection was around S$4.0 billion and
after deducting development costs, it is estimated that the profit could
be as much as S$3.0 billion. It is understood that M+S could generate
around RM12 billion cash, including a profit of RM5.4 billion, for
Khazanah if it sells the 60% stake. Will Khazanah assets be sold to
raise cash for the government?”
(https://www.theedgemarkets.com/article/cover-story-will-khazanahs-assets-be-sold-reduce-government-debt).
23. Pengarah Urusan Khazanah, Datuk
Shahril Ridza Ridzuan sendiri pada Mac 2019 tidak menolak “sebarang
cadangan penjualan aset sedia ada miliknya termasuk Legoland Malaysia
Resort (Legoland Malaysia), jika ia mampu memberi pulangan nilai lebih
baik pada masa depan”. Kenyataan beliau ini sebagai reaksi kepada
laporan Bloomberg bahawa Khazanah mempertimbangkan untuk menjual
Legoland Malaysia yang dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion (AS$245
juta), termasuk hutang
(https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/03/537561/khazanah-tidak-tolak-jual-aset-bernilai-tinggi).
24. Tidak cukup dengan kesemua langkah
penjualan aset ini, semalam kita dikejutkan pula dengan pengumuman
bahawa Khazanah Nasional telah melantik ahli lembaga pengarah baharu
dari China iaitu Prof Xiao’ou Tang
(https://www.theedgemarkets.com/article/khazanah-appoints-three-new-board-members).
25. Untuk rekod, pelantikan ini
menandakan buat pertama kalinya Khazanah melantik warga asing di posisi
yang teramat penting ini. Malah pelantikan ini dilaporkan secara
besar-besaran oleh media seperti South China Morning Post
(https://www.scmp.com/tech/start-ups/article/3016788/malaysias-
sovereign-wealth-fund-appoints-sensetime-founder-board-it).
26. Prof Xiao’ou Tang ialah Pengasas SenseTime dan pensyarah di Chinese University of Hong Kong.
27. Encik Lau Seng Yee pula ialah Naib
Presiden Eksekutif Kanan dan Pengerusi Pemasaran dan Penjenamaan
Kumpulan Tencent Holding Company Limited di China. Beliau adalah
merupakan warga Malaysia berpangkalan di China.
28. Pelantikan Prof Xiao’ou Tang dilihat susulan daripada lawatan Tun Mahathir ke ibu pejabat SenseTime di Beijing sebelum ini.
29. Untuk rekod, SenseTime sebelum ini
bekerjasama dengan syarikat G3 Global Bhd. dan juga China Harbour
Engineering Company Ltd. (CHEC) untuk menubuhkan taman kecerdasan buatan
(AI) yang pertama di Malaysia dengan pelaburan sebanyak AS$1 bilion
(RM4.14 bilion)
(http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/g3-global-rakan-rancang-labur-rm4-bilion-dalam-taman-ai-1.889714).
30. Secara ringkasnya, kerajaan Pakatan
hari ini bukan sahaja bertindak menjual aset negara secara besar-besaran
– terutama sekali kepada pihak asing – tetapi juga melantik pihak asing
yang berpengaruh dari kuasa besar ke posisi yang cukup strategik dalam
badan pelaburan dan pembangunan ekonomi negara.
31. Dari perspektif geopolitik, kedua-dua
langkah ini tidak strategik untuk kepentingan negara dalam jangka masa
panjang. Seperti mana amaran para sarjana seperti Profesor John
Ikenberry (Princeton University), Profesor David Lake (University of
California), Profesor Michael Mastanduno (Dartmouth College), Profesor
Peter Katzenstein (Cornell University), dan juga Profesor Stephen
Krasner (Stanford University), negara bukan kuasa besar (seperti kita)
perlu berusaha untuk meningkatkan ‘internal mobilization’ dan juga
‘external extraction’.
32. ‘Internal mobilization’ bermaksud
‘the creation of wealth and an investment in power’ (penciptaan kekayaan
dan pelaburan untuk membina kuasa) manakala ‘external extraction’ pula
ialah ‘state efforts to accumulate resources from outside its borders
that can be used in achieving domestic objectives’ (usaha kerajaan untuk
mengumpul sumber/pendapatan dari luar sempadannya yang boleh digunakan
bagi mencapai objektif-objektif domestik).
33. Sebaliknya, langkah kerajaan Pakatan
hari ini dipandu ideologi ekonomi neoliberal yang menitikberatkan
pengurangan tanggungjawab dan saiz kerajaan – termasuklah alasan
mengurangkan hutang yang sebenarnya tidak menjanjikan kemakmuran – sama
sekali tidak mengambil kira kepentingan strategik negara untuk jangka
masa panjang.
Kerajaan Pakatan perlu segera
menghentikan amalan penjualan aset-aset negara dan menyemak kembali
pelantikan warga asing ke posisi strategik seperti di Khazanah.
Ingatlah pesanan peribahasa Melayu berikut:
‘Gunung yang tinggi akan runtuh jika setiap hari digali’.
*Abdul Muein Abadi = Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan