Menteri agama naif hingga tiada belas ihsan terhadap Uyghur Xinjiang
BANGI
– Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa
didesak untuk melepaskan jawatan, susulan mengeluarkan kenyataan
mengecewakan umat Islam berhubung lawatannya ke Xinjiang, China
baru-baru ini.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS
Selangor, Ustaz Muhammad Ibrahim berkata, kenyataan Mujahid di Facebook
berkenaan lawatan ke ‘pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat
Uyghur’ amat menghina, malah tidak sedikit memperlihatkan belas ihsan
beliau ke atas penindasan yang sedang berlaku.
Kesal dengan sikap menteri yang naif,
beliau berkata, umum mengetahui China telah menindas etnik minoriti
Islam Uyghur dan menahan mereka di kem tahanan yang berselindung di
sebalik ‘pusat latihan dan vokasional’ ataupun pendidikan semula di
wilayah barat, Xinjiang.
“Bagi kami apabila Mujahid menyatakan
penindasan umat Islam Uyghur di Xinjiang, China adalah satu cerita
palsu, maka dia telah mengkhianati umat Islam,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ustaz Muhammad Ibrahim
yang juga dikenali sebagai Mad China berkata, Mujahid gagal membaca
fakta dilaporkan Human Right, International Agency bahawa berlaku
penindasan yang sangat dahsyat kepada umat Islam di Xinjiang, China.
“Untuk pengetahuan menteri agama,
penduduk Islam di wilayah Xinjiang berdepan pelbagai sekatan terhadap
kebebasan budaya dan agama yang dikenakan parti komunis China. Jika
menteri agama gagal memahami hal ini, maka selayaknya dia melepaskan
jawatan sahaja,” saran beliau.
Terdahulu, kenyataan Mujahid yang
mengatakan beliau dibawa melawat pusat latihan dan vokasional Xinjiang,
China seolah-olah hidup dengan harmoni tanpa ditindas, mencetuskan
kritikan pengguna media sosial.
Bahkan, beliau turut teruk dikecam
netizen apabila dalam ucapannya menyifatkan laporan mengenai penindasan
umat Islam di China sebagai ‘berita palsu’
Bagaimanapun baru-baru ini, Mujahid
menafikan kononnya beliau menyifatkan laporan penindasan umat Islam di
China sebagai berita palsu.
Katanya, laporan diterbitkan portal
tempatan berhubung perkara itu mengelirukan, tidak tepat serta tidak
menggambarkan keseluruhan ucapannya yang disampaikan ketika lawatan
kerja di Xinjiang, China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan